-->

Jururawat ditemui tertiarap tidak sedarkan diri di tepi jalan

Seorang jururawat wanita berusia 30-an yang lengkap beruniform ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan simpang tiga Dangi, pada malam Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, mangsa telah diserang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dari Hutan Percha, Melaka menuju ke pekan Kuala Pilah.

Siasatan awal mendapati, mangsa mendakwa dia telah dihimpit oleh sebuah kenderaan yang membuatkan dia terpaksa memberhentikan kenderaannya.

Suspek kemudian membuka pintu kereta, menarik mangsa keluar dan menumbuk mangsa di bahagian muka beberapa kali. Malah, mangsa turut dipukul dengan objek tumpul di bahagian belakang kepala.

Syahrul menafikan kejadian itu adalah kes rompakan kerana tiada barang-barang berharga milik mangsa yang hilang.

Suspek sedang giat diburu polis dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu kanan dan di bahagian kepala. Keadaan mangsa dilaporkan berada keadaan stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

The post Jururawat ditemui tertiarap tidak sedarkan diri di tepi jalan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar