-->

Anak Ketua Polis Daerah Lahad Datu maut tertembak diri sendiri

Anak perempuan kepada Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail dilaporkan maut.

Mangsa yang berusia 14 tahun dikatakan tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya yang tertinggal di rumah. Kejadian tersebut berlaku di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu, semalam.

Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumahnya, pada 12.42 tengah hari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Polis masih menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Kakak mangsa adalah satu-satunya individu yang menemui adiknya itu terbaring di dalam bilik berkenaan selepas pulang dari sekolah.

“Ketika kejadian, bapa mangsa pula berada di Kinabatangan, Sabah, atas urusan perpindahan rumah kerana baru berpindah selepas dinaikkan pangkat.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Dzulbaharin dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Lahad Datu pada 1 April lalu menggantikan Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad yang sebelum ini menyandang jawatan itu sejak November 2020.

Sumber: Berita Harian

The post Anak Ketua Polis Daerah Lahad Datu maut tertembak diri sendiri appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar