-->

‘Ini misi gila’ – Nadir Al-Nuri terkejut PMX berjaya keluarkan keluarganya dari Gaza

Konflik berterusan yang melanda Gaza telah menyebabkan banyak nyawa yang terkorban. Seluruh masyarakat dunia bersimpati dengan nasib yang dialami oleh rakyat Palestin.

Namun begitu, kesedihan dan kerisauan lebih berat ditanggung oleh pengasas Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri yang memikirkan soal keselamatan anak-anak dan isterinya di sana.

“183 hari yang panjang, hati saya hanya Allah sahaja yang tahu, betapa seluruh jiwa ini tertinggal di bumi G. Anak kecil, wanita dan keluarga berpindah-randah saat rumah kami juga habis dimusnahkan. Naik turun emosi bila dapat berita jiran, sahabat dan kaum kerabat kami di sana terkorban saban hari.

“Di sana setiap 10 minit satu jiwa akan syahid! Waktu malam adalah waktu yang sukar untuk memejamkan mata saat mendapat berita ada seluruh keluarga sahabat terkorban akibat bedilan regim yang memang mensasarkan orang awam,” tulisnya.

Bagaikan mendapat satu nafas baru, Nadir bagaimanapun lega apabila mendapat tahu satu sosok utama negara telah menyelamatkan keluarganya. Walaupun pada mulanya dia sudah agak kecewa dengan harapan yang diberikan, tetapi segalanya dia berserah kepada Allah.

“Sempat saya maklumkan pada ‘watak utama’ keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas ‘saya akan bantu’ dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya. Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja. Namun dalam surat saya, ada saya akhiri ayat dengan ‘Kepada Allah jualah kami berserah’. Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada Allah.

“Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik PMX, Tn Farhan Fauzi, watak penting yang mengusahakan misi ini. Sejak awal peperangan beliaulah yang kerap menjemput kami ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi kami bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di G,” katanya.

Misi gila

Kongsinya lagi, dia terkejut apabila melihat anak-anaknya berada di depan matanya. Baginya, tindakan yang dibuat oleh watak utama (Perdana Menteri) sebagai satu misi gila.

“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan..
Saya sudah biasa melalui perang di G, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan.

“Misi ini saya katakan ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan. Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana; ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain.

“Prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat. Kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan. Tetapi watak utama dalam ‘Misi Gila’ ini adalah Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri!” katanya.

Tindakan PMX harus dipuji

Tambahnya lagi, walaupun berbeza pandangan atau sebaliknya, tindakan dan misi yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri harus dipuji.

“Suka beliau atau tidak, dalam soal P umat perlukan satu ketumbukan. P pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan. Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti.

“Tindakan PMX menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan kita, ketegasan menyatakan sokongan kepada Hms dan mutakhir jawapan berpendirian di hadapan Chancellor German menjadikan nama Malaysia disebut-disebut di kalangan marhaen di jalanan bumi penuh keberkatan selain menjadi bual bicara di peringkat antarabangsa.

“Semoga kita terus bersatu membela nasib saudara kita, menjadi jaguh di peringkat dunia dan berani mengiringi kata-kata dengan langkah di alam nyata. Untuk PMX, PMO, (Dr) Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini samada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga,” katanya.

Sumber: Nadir Al Nuri

The post ‘Ini misi gila’ – Nadir Al-Nuri terkejut PMX berjaya keluarkan keluarganya dari Gaza appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar