-->

‘Khidmat hingga hujung usia, Ismail pembantu luar biasa setia’ – Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam hantaran di media sosial meluahkan rasa sedih dengan kehilangan pembantunya yang disifatkan sebagai seorang yang setia.

Tun Mahathir berkata, Ismail yang merupakan pembantu dan penyokong kuatnya sejak beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri lagi pada tahun 70-an, adalah seorang yang luar biasa kesetiaannya dan tidak pernah culas dalam bekerja.

“Hari ini saya berasa sangat sedih. Saya kehilangan seorang kawan baik, pembantu dan penyokong kuat saya yang meninggal dunia pagi tadi. Haji Ismail Manaf telah setia bekerja dengan saya sejak saya jadi Timbalan Perdana Menteri lagi pada tahun 70’an.

“Beliau tidak pernah cuai, sehingga semalam pun Ismail masih lagi datang bekerja. Apabila saya datang pejabat, tak pernah Ismail tiada.

“Beliau setia tunggu untuk buat kerja-kerja yang diperlukan dan seorang yang berkhidmat bukan semata-mata untuk mendapat upah tetapi kerana percaya apa yang dia sedang lakukan adalah sesuatu yang baik,” katanya.

Beliau tidak menyangka pertemuan beliau dan Ismail beberapa hari lalu merupakan pertemuan terakhir.

“Semalam Ismail tidak sihat dan sepatutnya bercuti hari ini. Sebelum pulang kami sempat bersalaman.

“Saya tidak sangka itulah kali terakhir kami berjumpa, ketentuan ALLAH setiap yang hidup pasti akan mati.

“Hari ini Ismail tak tunggu saya lagi dan saya kehilangan seorang pembantu yang ikhlas,” katanya.

Sumber: chedetofficial

The post ‘Khidmat hingga hujung usia, Ismail pembantu luar biasa setia’ – Tun M appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar