-->

RTM tangguh tayang drama pelakon terpalit kontroversi

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menangguhkan tayangan drama melibatkan pelakon yang terpalit dengan isu kontoversi seperti yang hangat diperkatakan kini.

Beliau berkata, soal tatasusila dan sosial membabitkan pelakon sentiasa menjadi pertimbangan sebelum membintangi drama yang ditayangkan di stesen TV itu.

“Saya tidak mahu menamakan mana-mana pelakon. Cuma, apa boleh dikatakan, isunya sedang menjadi perbualan sekarang dan saya sudah menghubungi penerbit drama itu, memaklumkan RTM akan menangguhkan siaran dramanya.

“Bukan apa, apabila drama ditayangkan, pihak stesen perlu buat promosi dan atur sesi temu bual bersama wartawan. Pada ketika itu nak jawab apa?

“Justeru, perkara sebegini sudah lama dibincangkan dengan semua pembekal drama yang mana kena pastikan tidak ada masalah sensitif seperti tatasusila dan sosial. Malah, penerbit pun sudah sedia maklum,” katanya.

Katanya tindakan tersebut dibuat kerana drama yang ditayangkan memberi kesan kepada masyarakat.

“Kenapa kita berbuat demikian? Sebab apabila drama ditayangkan, mereka menjadi ‘role model’ kepada masyarakat,” katanya.

Guna pendekatan rawatan psikologi

Katanya lagi, RTM akan menggunakan pendekatan yang lebih halus iaitu dengan memberikan rawatan psikologi, jiwa dan khidmat sosial. Bagaimanapun, RTM tidak mahu mengambil tindakan gam atau ‘banned’ mana-mana pelakon yang bermasalah kerana tindakan berkenaan katanya tidak menyelesaikan masalah.

“Di RTM kita percaya sekiranya seseorang itu bermasalah, dia kena mendapat pertolongan. Jangan masa artis itu sedang popular dia disanjung, tapi apabila ada masalah dia dibuang.

“Kita tidak tahu sama ada dia mempunyai masalah jiwa atau psikologi yang memerlukan bantuan.

“Kita kena terima hakikat yang mana dalam dunia hiburan ini, apa saja boleh berlaku. Dalam perkara sebegini, kita punya pendirian kena bantu dan bukan sisihkan,” katanya.

Ujarnya, drama yang membabitkan pelakon berkenaan ditangguh siaran sehingga dia benar-benar mendapatkan rawatan profesional dan berubah ke arah lebih baik.

Sumber: Harian Metro

The post RTM tangguh tayang drama pelakon terpalit kontroversi appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar