-->

Premis Starbucks, McDonald’s Tawau diconteng ‘Boikot’

Tindakan memboikot sesebuah premis merupakan satu bentuk protes yang sah dan tidak salah di sisi undang-undang. Ia adalah hak individu atau kumpulan untuk menunjukkan ketidakpuasan mereka terhadap sesuatu isu atau entiti.

Namun, tindakan memboikot yang melibatkan kerosakan harta benda seperti menconteng atau merosakkan premis adalah tindakan yang keterlaluan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Perbuatan ini bukan sahaja menunjukkan contoh yang tidak baik, tetapi juga boleh menjejaskan usaha boikot itu sendiri.

Semalam, sebuah premis Starbucks di Jalan T2, Tawau, Sabah telah diconteng dan pengurusan Starbucks kemudian tampil membuat laporan polis.

Semakan polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, dua individu disyaki melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dengan menggunakan cat sembur. Namun wajah mereka tidak dapat dilihat dengan jelas.

Difahamkan, contengan itu telah pun dipadamkan segera. Polis juga sedang giat mengenal pasti suspek dan tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya suspek telah dikenal pasti.

Sementara itu, sebuah restoran McDonald’s di daerah yang sama dilaporkan turut menjadi mangsa di mana premis tersebut diconteng. Tindakan itu dipercayai didalangi oleh suspek yang sama.

Polis menasihatkan orang ramai tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan provokasi, termasuk membuat contengan di dinding premis.

Sumber: Harian Metro, 8hannels

The post Premis Starbucks, McDonald’s Tawau diconteng ‘Boikot’ appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar