-->

PM umum duit raya buat penjawat awam Gred 56 ke bawah, disalurkan Jumaat ini

Satu berita gembira buat penjawat awam apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 dibayar kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada 05 April 2024 (Jumaat).

BKK akan disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

“Jadi hari ini, bersamaan 21 Ramadan 1445, saya umumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

“Sebanyak RM250 BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, insya-Allah saya sudah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024,” katanya.

Kekalkan tradisi BKK Aidilfitri

Terdahulu,Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat menggesa supaya kerajaan memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.

Adnan berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan itu sebagaimana dilaksanakan sepanjang 10 tahun lalu.

Insentif itu katanya, bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam, malah melegakan kelompok peniaga.

“Kami merayu supaya kerajaan mengumumkan dalam waktu yang terdekat ini, kerana ada keluh kesah peniaga di luar sana apabila penjawat awam kurang ‘purchasing power’.

“Sekurang-kurangnya dengan ada bantuan khas Aidilfitri, bukan sahaja penjawat awam (terima manfaat), tetapi untuk peniaga di bazar Aidilfitri yang memerlukan pembeli yang mampu membeli barangan mereka.

“Jika kami tidak ada kelebihan, maka kami tidak mampu membeli (dan mewujudkan) pusingan ekonomi kepada peniaga,” katanya.

Susulan itu juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tesebut dalam pertimbangan berikutan kerajaan baru sahaja membuat Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 pada 23 Februari lalu.

Sumber: Berita Harian

The post PM umum duit raya buat penjawat awam Gred 56 ke bawah, disalurkan Jumaat ini appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar