-->

Peniaga harus jujur kalau jual semula kuih yang tak habis dijual semalam – UAI

Isu penjualan semula kuih yang tidak habis dijual semalam menjadi tumpuan apabila Ustaz Azhar Idrus, memberikan pandangan beliau mengenai perkara tersebut.

Menurut Ustaz Azhar, penjualan semula kuih yang tidak habis dijual semalam adalah dibolehkan selagi kuih tersebut masih dalam keadaan baik dan tidak basi.

Namun, ada syarat yang perlu dipatuhi oleh penjual iaitu mereka perlu memberitahu secara jujur kepada pembeli bahawa kuih tersebut adalah dari hari sebelumnya.

Tegasnya, penipuan dalam urus niaga adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dalam agama Islam. Sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW pernah menegur penjual buah yang menyembunyikan buah rosak di bawah bekas buah yang baik. Ini adalah bentuk penipuan dan Nabi Muhammad SAW telah menyatakan bahawa orang yang melakukan penipuan bukanlah dari golongan umat Islam.

“Kalau tidak diberitahu kuih itu adalah yang semalam, pembeli tidak tahu dan di situ ada helah, ada keperdayaan dan pembeli akan rasa tertipu. Itu tak boleh.

“Satu hari Nabi lihat orang berniaga buah di pasar, Nabi seluk dalam bekas buah di bawahnya basah (rosak), Nabi memberitahu yang basah itu sepatutnya berada di luar bukan di bawah agar orang tahu.

“Lalu Nabi cakap kalau jenis menipu sebegini, dia bukanlah dari golongan kami,” katanya.

Mengambil kira situasi ini, Ustaz Azhar menyarankan peniaga, terutamanya peniaga di bazar Ramadan, untuk berlaku jujur dan memberitahu pembeli jika kuih yang dijual adalah dari hari sebelumnya. Jika peniaga tidak mahu memberitahu secara lisan, mereka boleh menulis pemberitahuan tersebut di kedai mereka.

Namun, ramai peniaga enggan berbuat demikian kerana bimbang jualan mereka tidak akan laku. Maka, beliau menyarankan peniaga untuk mendermakan kuih yang tidak laku sebagai amal jariah. Ini adalah alternatif yang lebih baik daripada menjual semula kuih yang tidak laku.

The post Peniaga harus jujur kalau jual semula kuih yang tak habis dijual semalam – UAI appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar