-->

Peniaga raih RM14K sebulan jual makanan guna mesin layan diri

Seorang peniaga nasi kukus meraih jualan melebihi RM14,000 sebulan setelah menyertai program perniagaan mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Pendapatan hasil jualan yang diperolehi kini mampu mengubah nasib beliau sekeluarga.

Sebelum menyertai program yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI melalui Kementerian Ekonomi itu, Mohd Hermi merupakan peniaga kecil-kecilan dengan membuka gerai di tepi jalan di kawasan Fasa 3 Bandar Puncak Alam. Selain itu juga, dia mengambil tempahan makanan untuk majlis keraian.

“Perniagaan kami sebelum ini memang banyak cabaran dengan pendapatan boleh terjejas bila-bila masa sahaja. Ada ketika, makanan langsung tidak boleh dijual, terutama ketika hujan lebat menyebabkan modal dan makanan pada hari itu kadangkala ‘hangus’ begitu sahaja.

“Saya juga mempunyai anak OKU berusia sembilan tahun yang masih memerlukan perhatian dan jagaan penuh. Jika ada janji temu dengan doktor, memang saya dan isteri tak boleh berniaga, jadi tidak adalah pendapatan untuk kami pada hari itu,” katanya.

Mohd Hermi dan isteri, Fadilah Hanum Abu, mengusahakan perniagaan makanan dari mesin layan diri di Kolej Angsana 2, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor (UCS) kampus Puncak Alam.

Mereka menyifatkan penyertaan dalam program IPR sebagai tidak sia-sia, malah tidak perlu mengeluarkan modal untuk penyediaan makanan dan bayaran sewa kerana kos itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan bagi tempoh dua tahun.

Antara makanan dijual menerusi mesin layan diri itu adalah nasi lemak ayam goreng, nasi lemak pandan, roti kebab daging, roti sosej gulung, set bebola daging, ‘popcorn’ ayam dan nasi ayam pedas, yang kesemuanya dimasak sendiri mereka berdua.

“Semua makanan ini dijual pada harga RM2 hingga RM5. Bagi mengekalkan kualiti dan rasa, menu akan ditukar atau ditambah setiap enam jam dalam tempoh sehari.

“Ini bermakna program IPR bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan malah memberi pilihan kepada orang ramai untuk membeli makanan siap masak pada harga berpatutan dan murah,” katanya.

Katanya, dia kini boleh memperuntukkan lebih masa bersama keluarga kerana perniagaan itu boleh dipantau dari jauh menerusi aplikasi khas untuk mengetahui status stok makanan atau jika ada sebarang masalah teknikal terhadap mesin layan diri berkenaan.

“Saya berasa cukup bertuah kerana dipilih menyertai program IPR daripada ribuan permohonan yang diterima kementerian. Pastinya program ini membuka prospek baharu kepada usahawan kecil seperti saya menjana pendapatan sekali gus meningkatkan nilai jualan sedia ada,” katanya.

Sumber: Bernama

The post Peniaga raih RM14K sebulan jual makanan guna mesin layan diri appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar