-->

Penganjur batal pertandingan ‘Pakaian Beragam Janda Temerloh’

Satu hantaran tular di media sosial mengenai Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh mendapat perhatian ramai. Hantaran berkenaan juga bukan sahaja mengundang persepsi ramai, malahan ramai yang berminat untuk menyertainya.

Namun begitu, setelah mendapat nasihat dan pandangan dari pihak berkuasa serta Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor, pihak penganjur membatalkan program berkenaan.

Menurut wakil penganjur, Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh yang dijadualkan berlangsung di Taman Tasik Chatin, Mentakab di sini pada Ahad ini, merupakan aktiviti selingan sempena jamuan raya yang akan diadakan pada hari terbabit. Penyertaan tersebut dibuka kepada peserta berumur 20 tahun ke atas.

“Sebenarnya dari awal, ia hanya acara suka-suka yang dirancang oleh kami dan hanya dimaklumkan dalam kumpulan kecil kami.

“Tidak sangka poster pertandingan ditularkan di media sosial dan terkejut apabila ramai yang berminat menyertai pertandingan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap isu itu tidak berpanjangan dan melarat selepas pertandingan tersebut dibatalkan.

“Sudah tentu saya memahami bahawa isu ini bakal menjadi perkara sensitif dan boleh mencetuskan perasaan sensitiviti dalam kalangan masyarakat Islam di Temerloh dan di Pahang secara amnya.

“Saya dengan rasa rendah diri, sekali lagi memohon maaf atas kelemahan di pihak kami dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Salamiah kesal dengan penganjuran pertandingan itu dan telah membuat bantahan kepada pihak Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Temerloh selain laporan polis pada Selasa. Susulan itu juga, beliau telah mengarahkan wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh untuk terus menghubungi wakil penganjur.

“Saya telah menerima maklum balas daripada pihak penganjur yang memberikan komitmen untuk membatalkan acara ini dan hanya menjalankan acara rumah terbuka Aidilfitri sahaja,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

The post Penganjur batal pertandingan ‘Pakaian Beragam Janda Temerloh’ appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar