-->

‘Jangan hina drama Melayu kerana kita pun Melayu’ – Erma Fatima jawab kecaman netizen

Pelakon, pengarah dan juga penulis skrip, Erma Fatima, tampil menjawab kecaman netizen berhubung babak perkosa yang membabitkan pelakon Hannah Delisha dalam episod ke 28, drama Lelaki Itu.

Jelas Erma, netizen tidak sepatutnya hipokrit kerana realitinya kejadian seperti itu memang berlaku di dunia realiti. Malah ada yang jauh lebih teruk lagi.

“Kenapa kita nak bohong diri kita? Buka media sosial, berapa banyak kes rogol? Awak rasa saya tak jijik ke nak buat semua ini? Tetapi inilah hakikatnya sakit orang kita di luar sana.

“Apa nak jadi dengan orang kita? Tak boleh tengok perempuan? Apa jadi isu-isu bapa perkosa anak? Mak perkosa bapak. Sejijik itu yang pandang karya saya, sejijik itu jugalah penyakit yang melanda orang kita ketika ini,” tegasnya.

Erma turut meminta orang ramai tidak menyalahkan drama Melayu kerana realitinya jiwa masyarakat memang sudah semakin tenat.

“Jangan salahkan drama Melayu. Jiwa orang kita makin sakit. Itulah realitinya. Pandang sudut baik, maka baiklah penerimaannya. Maafkan saya andai naskah ini menjijikkan. Saya sekadar menyuarakan kejadian benar yang berlaku di luar untuk dijadikan tauladan.

“Kita makin rasa tak selamat bukan sahaja di luar rumah, tetapi di dalam rumah, di sekolah, salah drama Melayu ke? Pernah tahu tak kes cucu perkosa nenek? Bapa perkosa anak? Cikgu perkosa student?

Terima teguran

“Jangan hina drama Melayu kerana kita pun Melayu. Drama luar negara lagi hebat unsur yang dah merosakkan akidah dan iman orang kita. Drama Korea best ke? Drama Hollywood? Bollywood?

“Saya terima orang jijik dengan karya saya. Tetapi jangan pertikaikan masalah sosial di luar sana. Lebih menyedihkan yang melakukannya adalah orang Melayu.

“Saya terima teguran dengan hati terbuka. Saya tak pernah rasa hebat pun. Karya saya hanya picisan, satu perjuangan kritik sosial. Tak besar mana pun. Kalau orang boleh mengkritik karya saya, izinkan saya juga untuk meluahkan kerisauan saya terhadap masalah sosial bangsa saya.

“Segala kekurangan dalam drama ini adalah dari saya dan team saya. Tak semua drama Melayu teruk. Kalau drama saya jijik, jangan kaitkan dengan drama lain yang tak bersalah. Yang baik datang dari Allah. Segala kekurangan adalah dari saya,” katanya.

The post ‘Jangan hina drama Melayu kerana kita pun Melayu’ – Erma Fatima jawab kecaman netizen appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar