-->

‘Individu yang buang sampah keluar dari kenderaan, boleh dikompaun’ – Nga Kor Ming

Beberapa hari ini, kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku ekoran sudah ramai perantau pulang ke kampung halaman. Dan susulan itu juga, beberapa gambar tular di laluan Kuala Lipis ke Gua Musang, Kelantan menunjukkan bungkusan sampah makanan dan minuman yang dibuang di sepanjang jalan.

Menerusi gambar berkenaan juga, kelihatan seorang pekerja pembersihan sedang mengutip sisa-sisa yang ditinggalkan.

Sehubungan dengan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengeluarkan kompaun terhadap individu yang membuang sampah keluar dari kenderaan serta-merta.

“PBT akan mengeluarkan kompaun dan pastikan ia dibayar. Tindakan tegas akan diambil dan kamu yang buang sampah kena bertanggungjawab.

“Kita semua ada pergi sekolah. Kita semua ada pendidikan sivik maka tanggungjawab semua pihak untuk menjaga kebersihan awam. Bukan saja kita serah kepada pekerja-pekerja PBT.

“Kita pun tahu cuaca sekarang panas terik, kasihanilah kepada pekerja-pekerja kita ini yang bertungkus-lumus untuk menjaga kebersihan awam,” katanya.

Mengulas lanjut isu tular tersebut juga, beliau berkata perkara itu amat dikesali. Beliau meminta semua pihak agar bertanggungjawab, membuang sampah di tempat yang sepatutnya.

“Oleh kerana itu, jika hendak makan dalam kereta, bungkusan itu letak dalam kereta dulu. Bila sampai ke kampung halaman, barulah angkat keluar, buang dalam tong sampah. Bukan dengan suka hati buang di tepi jalan dan harap orang lain iaitu pekerja kita kutip untuk anda,” katanya.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Individu yang buang sampah keluar dari kenderaan, boleh dikompaun’ – Nga Kor Ming appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar