-->

3 warga Pakistan maut dirempuh ketika dalam perjalanan menunaikan solat Aidilfitri

Ketika umat Islam lain meraikan kegembiraan menyambut Syawal, enam warga Pakistan pula berdepan dengan dugaan.

Tiga lelaki warga Pakistan maut dan tiga lagi dilaporkan parah apabila dirempuh sebuah kereta ketika berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri Rabu lalu.

Kejadian berlaku di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, di sini, pagi tadi apabila sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 36 tahun terbabas dan terlanggar enam warga Pakistan yang sedang berjalan kaki di bahu jalan.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, akibat kejadian itu, tiga daripada mangsa yang berusia antara 20 hingga 35 tahun disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi parah dan dirawat di Hospital Teluk Intan.

“Semua mangsa mempunyai permit dan dokumen perjalanan sah.

“Pemandu kereta Proton Saga ditahan dan ujian saringan air kencing terhadap pemandu didapati positif ganja,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian. Polis juga menahan kenderaan terbabit bagi tujuan pemeriksaan Puspakom.

Pemandu berkenaan juga akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Teluk Intan.

Empat warga Pakistan turut ditahan

Dalam pada itu, polis turut menahan empat lelaki warga Pakistan kerana memukul pemandu kereta susulan kemalangan jalan raya tersebut. Mereka ditahan pada jam 4.20 petang kelmarin selepas polis mengenal pasti suspek menerusi video tular di laman sosial melibatkan pemandu kereta dan empat lelaki tersebut.

Sumber: Berita Harian

The post 3 warga Pakistan maut dirempuh ketika dalam perjalanan menunaikan solat Aidilfitri appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar