-->

Tuan Ibrahim cadangkan kerajaan mansuh Tol Gombak & Karak, elak kesesakan di LPT

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan supaya memansuhkan Plaza Tol Gombak dan Karak. Langkah tersebut dikatakan bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas bagi pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Beliau mengusulkan cadangan tersebut ketika sesi perbahasan titah diraja di sidang Dewan Rakyat.

“Sebagai contoh di Lebuh Raya Pantai Timur, ada empat (plaza) tol terpaksa pengguna berhenti (iaitu) Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan (plaza tol) keluar.

“Sedangkan untuk ringankan beban pengguna, sepatutnya kerajaan guna dua kaedah, waktu masuk dan keluar sahaja.

“Dua tol perlu dihapuskan (iaitu) tol Gombak dan tol Karak, tidak perlu diadakan sebab ia melambatkan dan menyesakkan lebuh raya tersebut,”katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menyambut baik cadangan Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang sebelumnya mencelah adakah terdapat keperluan menghapuskan semua tol di negara ini.

“Saya nak cakap tadi tapi tak sampai hati, kalau Kuala Terengganu cadang saya sangat menyokong, terutama tol Gombak, ini antara tol terawal di Malaysia, sepatutnya dihapus dulu sebelum tol lain,” katanya.

Dalam ucapan itu juga beliau mencadangkan agar pihak bertanggungjawab untuk meneliti semula waktu membaikpulih jalan raya supaya tidak menyusahkan pengguna.

Sumber: Sinar Harian, Free Malaysia Today

The post Tuan Ibrahim cadangkan kerajaan mansuh Tol Gombak & Karak, elak kesesakan di LPT appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar