-->

Tiada bonus raya penjawat awam Kelantan

Menjelang Aidilfitri, kebanyakan syarikat atau mana-mana badan organisasi mahupun kerajaan negeri akan memperuntukkan bantuan khas kewangan atau bonus kepada pekerja.

Februari lalu, semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak telah menerima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000. Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) disediakan kepada penjawat awam pada tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penjawat awam di Kelantan juga tidak diberikan bonus pada tahun ini.

Beliau berkata, ia berikutan bantuan khas kewangan penjawat awam Kelantan diberi pada November tahun lalu iaitu sebanyak RM2,000 oleh Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang dianggap sebagai ‘bonus raya’.

“Bantuan itu dibayar bulan lalu yang jaraknya agak dekat dengan tarikh Aidilfitri dan boleh digunakan oleh penjawat awam untuk raya.

“Kita amat menghargai penjawat awam sebagaimana Kerajaan Pusat. Kalau keadaan ekonomi semakin baik, insya-Allah saya rasa kerajaan boleh fikirkan inisiatif bantuan lain selepas ini,” katanya.

Selangor dan Johor umum bantuan khas kewangan Aidilfitri

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada anggota perkhidmatan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Kerajaan Johor pula bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,500.00 kepada seluruh penjawat awam di negeri ini.

Sumber: Berita Harian

The post Tiada bonus raya penjawat awam Kelantan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar