-->

‘Neraka Wail menanti peniaga makanan menipu’ – Mufti Pulau Pinang

Kesempatan di bulan Ramadan ini, ramai peniaga yang mengambil peluang untuk berniaga di bazar Ramadan. Saban tahun juga, ada isu rungutan daripada pembeli mengenai makanan yang dibeli di bazar tidak berkualiti.

Mengulas isu tersebut, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menyatakan hukuman Neraka Wail menanti peniaga yang melakukan penipuan sebegitu.

Menurut beliau, ada hadis di dalam Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud barang siapa menipu dalam perniagaan, maka dia bukanlah daripada golongan kami.

“Erti hadis ini adalah seseorang yang menipu ketika menjual atau membeli beli sesuatu barang dengan tidak melahirkan keadaan sebenar barang jualannya kepada pembeli bererti dia telah melakukan satu penipuan.

“Hukum perbuatan begini adalah haram di sisi syariat Islam dan di dalam al-Quran terdapat ancaman dengan Neraka Wail ke atas para peniaga yang menipu timbangan atau sukatan.

“Maka secara analogi penipuan dalam menjual makanan yang tidak berkualiti atau rosak, lebih-lebih lagi kepada pelanggan yang membelinya untuk berbuka puasa,” katanya.

Tindakan peniaga mengecewakan

Dalam pada itu, beliau turut berasa dukacita dengan tindakan peniaga yang tergamak berbuat demikian lebih-lebih lagi di bulan yang mulia.

“Sepatutnya pada bulan yang mulia ini umat Islam banyak melakukan infaq dan memberi jamuan iftar kepada umat Islam yang berpuasa.

“Tetapi dukacitanya ada peniaga yang tergamak menjual makanan basi di bazar Ramadan dan ini termasuk dalam kategori perbuatan tidak beretika yang sudah pasti hukumnya adalah haram.

“Ia termasuk antara maksud memakan harta manusia secara batil atau salah yang dilarang di dalam al-Quran dan hadis,” katanya.

Susulan itu juga, dia menasihati para peniaga supaya takut kepada Allah dalam urusan jual beli. Tambahnya lagi, walaupun hanya mendapat keuntungan yang sedikit, tetapi ianya lebih baik jika diberkati berbanding keuntungan yang banyak tetapi tiada keberkatan.

Sumber: Malaysia Gazette

The post ‘Neraka Wail menanti peniaga makanan menipu’ – Mufti Pulau Pinang appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar