-->

Kerajaan setuju secara prinsip laksanakan tahanan di rumah, kurangkan kesesakan di penjara

Kerajaan Malaysia secara prinsip bersetuju memulakan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah (home detention). Inisiatif ini ditujukan kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah, sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif tersebut. Tujuan utama adalah untuk memastikan sama ada peruntukan undang-undang sedia ada memadai, atau perlu digubal undang-undang baru.

“Kita perlu memastikan apakah undang-undang sedia ada cukup memadai, atau perlu digubal undang-undang baru di bawah kuasa Ketua Pengarah Penjara atau Menteri KDN,” katanya.

Penghuni penjara yang akan terlibat dalam program ini adalah individu yang berpenyakit kronik, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), dan ibu mengandung.

Tegas beliau, langkah ini lebih manusiawi dan mereka akan dipasangkan gajet untuk membolehkan pelaksanaan home detention.

Menurut Saifuddin, program seperti Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib, dan Program Pemulihan Pemasyarakatan bukan sahaja dapat menangani masalah kesesakan penjara, tetapi juga sebagai langkah penjimatan kepada negara.

Statistik menunjukkan bahawa program yang telah dijalankan sebelum ini memberi impak positif. Daripada 800 banduan yang dibebaskan, hanya seorang yang dimasukkan semula ke dalam penjara.

Sumber: Bernama

The post Kerajaan setuju secara prinsip laksanakan tahanan di rumah, kurangkan kesesakan di penjara appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar