-->

Kelantan, negeri tertinggi di Pantai Timur daftar sistem PADU

Rakyat Malaysia disarankan untuk mengisi maklumat dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat dan tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan serta perlindungan sosial.

Susulan itu, rakyat Malaysia dituntut untuk bertindak segera mengisi maklumat tersebut sebelum 31 Mac ini.

Menerusi satu kenyataan dari Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor, Kelantan menjadi negeri Pantai Timur paling tinggi penduduknya yang mendaftar maklumat mereka dalam sistem PADU.

Sehingga Sabtu lalu, jumlah 484,639 dicatatkan bersamaan 38.8 peratus daripada keseluruhan 1.2 juta penduduk.

“Bermula 2 Januari lalu hingga semalam, seramai 484,639 penduduk Kelantan berjaya mengisi PADU bagaimanapun kami mahu jumlah mendaftar yang lebih tinggi.

“Kita ada masa berbaki sehingga 31 Mac ini dan menyeru semua untuk segera mengemas kini PADU supaya tidak tercicir daripada mendapat segala bantuan kerajaan sebagaimana diumumkan,” katanya.

Selepas Kelantan, jumlah penduduk mendaftar PADU di Pantai Timur tersebut diikuti Pahang iaitu 406,892 dan seterusnya Terengganu 355,836.

Kaunter dibuka

Bagi memberi kemudahan kepada rakyat untuk mendaftar katanya, Jabatan Perangkaan (DOSM) Kelantan mengambil tindakan proaktif membuka kaunter-kaunter di pejabat jabatan itu dan beberapa kawasan terpilih.

“Orang ramai boleh mendaftar PADU menerusi telefon bimbit masing-masing dan jika memerlukan bantuan boleh ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional atau ke mana-mana pejabat JaPen.

“Selainnya, ada juga kaunter-kaunter yang dibuka di pasar raya Mydin bagi memudahkan masyarakat terutamanya orang kampung untuk mengisi ataupun mengemas kini PADU,” jelasnya.

Kerahsiaan maklumat

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak perlu bimbang dengan isu keselamatan maklumat mereka di dalam PADU.

“Sebagaimana disebut beberapa kali oleh menteri yang berkaitan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang kerana kerahsiaan maklumat ini terjamin, pertamanya PADU diselenggara oleh pegawai-pegawai kerajaan dan mereka tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

“Kedua, PADU mengguna pakai sistem yang dikelolakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan beberapa agensi kerajaan yang sememangnya bertugas untuk menjamin keselamatan data pengguna,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

The post Kelantan, negeri tertinggi di Pantai Timur daftar sistem PADU appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar