-->

Kanak-kanak maut terjatuh dari tingkat 16 kuarters hospital

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh.

Menerusi satu laporan, kejadian yang berlaku pada jam 4.28 petang, Ahad itu disedari ibu mangsa yang baru sahaja bangun dari tidur dan sempat melihat anaknya berada di jendela namun tidak sempat menyelamatkannya.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada jam 4.28 petang dan anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati seorang kanak-kanak telah meninggal dunia.

“Ketika ibu mangsa bangun dari tidur, dia mendapati anak bongsunya itu berada di bahagian luar tepi jendela di ruang tamu yang telah terbuka tetapi tidak sempat mendapatkan mangsa sebelum mangsa terjatuh ke bawah,” katanya.

Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi dan punca kematian masih dalam siasatan.

Satu kertas siasatan kes mati mengejut telah dibuka berkait kejadian tersebut dan ibu bapa mangsa juga akan diambil keterangan dalam masa terdekat..

Sumber: Bernama, Kosmo Online

The post Kanak-kanak maut terjatuh dari tingkat 16 kuarters hospital appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar