-->

Isa Samad dilepas & dibebaskan dari 9 tuduhan rasuah RM3 juta

Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd Isa Samad dilepas dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan. Keputusan tersebut dibuat kerana didapati bayaran pertuduhan suapan itu tidak disokong bukti yang boleh dipercayai.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Vazeer Alam berkata, dapatan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa, bayaran telah dibuat kepada Isa (selaku perayu) melalui dua saksi, namun ia tidak disokong dengan bukti boleh dipercayai.

Dua individu itu ialah saksi pendakwaan ke-21 (SP21), (ketika itu) pegawai khas politik Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip dan SP16, bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

“Ia berdasarkan keterangan, SP16 dikatakan telah membuat sembilan pembayaran kepada SP21 tetapi tiada bukti yang menunjukkan perayu telah menerima bayaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi juga membuat dapatan bahawa suapan diberi oleh SP16 kerana bimbang perayu boleh membatalkan kontrak penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, kerana Isa (ketika itu) bertindak sebagai Pengerusi Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

“Bagaimanapun, kami bersetuju dengan pembelaan perayu bahawa, pertuduhan menjadi cacat kerana isu yang menyentuh kebimbangan perayu boleh membatalkan kontrak, tidak dinyatakan dalam mana-mana sembilan pertuduhan,” katanya.

Dua naratif berbeza

Bukan itu sahaja, Vazeer Alam berkata, pihak pendakwaan telah membentangkan dua naratif yang berbeza mengenai kes ini, iaitu dalam pertuduhan dan pernyataan pembukaan mereka.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan, pihaknya perlu berbincang dengan Peguam Negara (AG) sebelum memutuskan sama ada merayu atau sebaliknya, berhubung keputusan ini.

Terdahulu, pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Sumber: Sinar Harian

The post Isa Samad dilepas & dibebaskan dari 9 tuduhan rasuah RM3 juta appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar