-->

Ibu menangis, anak mengaku bersalah buat aksi ‘Superman’

Seorang pemuda yang melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang motosikal, telah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka, semalam.

Muhammad Nuraiman Rosman, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan menunggang motosikal dengan cara yang membahayakan pengguna jalan raya lain pada pukul 2.15 pagi di Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) lampu isyarat Bukit Piatu, daerah Melaka Tengah, pada 3 September lalu.

Menurut fakta kes, polis telah menahan pemuda tersebut menerusi Op Samseng Jalanan selepas dia didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya. Muhammad Nuraiman juga melakukan aksi menundukkan kepala separas pemegang sambil memotong kenderaan lain secara ‘zig zag’.

Pegawai Pendakwa, Muhammad Naim Abd. Jalil, memohon hukuman setimpal dan lesennya dibatalkan diberikan terhadap Muhammad Nuraiman sebagai pengajaran.

Muhammad Nuraiman yang tidak diwakili peguam, merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan dia merupakan anak sulung daripada tujuh beradik dan perlu membantu ibunya berniaga kuih, selain sudah insaf.

Ibunya yang turut hadir pada prosiding itu, gagal mengawal emosi dan menangis teresak-esak sehingga terpaksa diminta keluar dari kamar mahkamah.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Majistret Mazana Sinin memerintahkan Muhammad Nuraiman dipenjara satu hari dan membayar denda sebanyak RM5,000 atau empat bulan penjara, jika gagal membayar denda. Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu Muhammad Nuraiman digantung selama lima tahun bermula dari tarikh sabitan.

Sumber: Kosmo! Online

The post Ibu menangis, anak mengaku bersalah buat aksi ‘Superman’ appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar