-->

‘Harga cekik darah’ – Tapak bazar Aidilfitri Dataran Senawang cecah RM17K?

Menjelang Ramadan dan Syawal, para peniaga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tapak khemah yang strategik bagi melariskan jualan.

Namun begitu, ada juga pihak yang mengambil kesempatan daripada situasi tersebut.

Tular ketika ini, harga tapak khemah bazar Aidilfitri di Dataran Senawang ditawarkan oleh penganjur sehingga mencecah RM17,000. Dikatakan, khemah yang ditawarkan itu merupakan tapak khemah di bahagian hadapan yang turut menjadi rebutan peniaga setiap tahun.

Dalam pada itu, penganjur tersebut didakwa turut cuba meraih keuntungan dengan menetapkan harga mengikut lokasi dan saiz khemah bermula RM5,000 hingga RM15,000.

Peniaga yang berminat diminta membuat bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus daripada harga yang dipersetujui manakala baki 50 peratus lagi perlu diselesaikan pada Ramadan pertama iaitu 12 Mac, sebelum memasuki tapak.

Wang deposit tidak akan dikembalikan sekiranya peniaga membatalkan atau tidak membuat bayaran penuh tempahan seperti tarikh yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali terkejut dengan harga sewaan tapak khemah berkenaan. Katanya, terdapat tiga penganjur yang dilantik di bazar Aidilfitri Dataran Senawang yang diberi mengikut zon.

“Ketika penganjur membuat permohonan permit tapak bazar itu mereka telah maklumkan harga tawaran sewaan tapak khemah masing-masing dan sekiranya MBS bersetuju, baru kita luluskan.

“Yang saya difahamkan harga mengikut saiz khemah antara RM2,000 hingga RM3,500, tapi harga sampai RM17,000 ini memang tak sepatutnya,” katanya.

Kemungkinan ditawarkan oleh pihak ketiga

Beliau juga tidak menafikan kemungkinan harga tersebut ditawarkan oleh pihak ketiga.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga supaya berhubung terus dengan penganjur bukannya menggunakan orang tengah bagi elak ditipu.

“Sekiranya harga ditawarkan terlampau tinggi, buat aduan pada MBS supaya kita boleh siasat dan kalau pihak itu kata dia wakil penganjur, minta segala butiran.

“Mungkin ada yang dapat daripada penganjur, kemudian jual pada orang lain kerana isu pihak ketiga ini sememangnya berlaku bukan saja di Negeri Sembilan tetapi juga negeri-negeri lain,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, Senawang TV

The post ‘Harga cekik darah’ – Tapak bazar Aidilfitri Dataran Senawang cecah RM17K? appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar