-->

Google Malaysia mohon maaf, akui silap lapor nilai tukaran wang asing

Google Malaysia tampil memohon maaf kepada Bank Negara Malaysia (BNM) atas kesilapan dalam melaporkan nilai tukaran wang asing antara Dolar Amerika dan Ringgit (USD-MYR) pada laman web mereka tiga hari lalu.

Menurut hantaran di X, Google telah menghubungi penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang menyediakan maklumat tukaran wang asing, termasuk ringgit, untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.

Google juga menjelaskan bahawa, maklumat tukaran wang asing yang disediakan oleh pihaknya adalah bertujuan memberi maklumat sahaja. Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan kepastian daripada pihak berkuasa seperti BNM sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan atau kewangan.

Terdahulu, BNM dalam satu kenyataan menegaskan data kadar pertukaran ringgit yang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR yang diterbitkan oleh Google pada 15 Mac 2024 adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan nilai dagangan sebenar.

Menurut BNM, kadar pertukaran USD/MYR pada hari tersebut adalah 4.7015 pada jam 9 pagi dan 4.7045 pada jam 5 petang.

Selain itu, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76 peratus berbanding dengan dolar AS sepanjang dua minggu yang lalu (1 – 15 Mac 2024). Ini menunjukkan bahawa ringgit Malaysia tetap stabil dan kuat dalam pasaran tukaran wang asing.

Sumber: Buletin TV3

The post Google Malaysia mohon maaf, akui silap lapor nilai tukaran wang asing appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar