-->

Gas steamboat meletup, 7 sekeluarga melecur teruk di muka & tangan

11 Mac lalu, seorang individu bernama Asri Yusof, tampil mendedahkan tragedi yang menimpa mereka sekeluarga ketika makan di sebuah restoran steamboat pada 9 Mac lalu.

Difahamkan, gas memasak yang digunakan untuk steamboat meletup dan menyebabkan mereka tercampak dan mengalami luka melecur di bahagian muka dan tangan.

Beri saguhati RM1,000 untuk 7 mangsa?

Ekoran kejadian itu, pemilik restoran telah membawa kesemua mangsa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Namun, Asri mendakwa tiada tindakan susulan dan pihak restoran hanya datang melawat selepas dipaksa.

“Pemilik ada cuba memberikan saguhati RM1,000 tetapi untuk tujuh orang ahli keluarga. Tak tahulah nak cakap apa. Bukan luka setompok, tetapi hampir keseluruhan muka.

“Kepada owner, jangan fikirkan keuntungan semata-mata. Ambil tanggungjawab sebab kami sekarang sedang sakit, terpaksa ambil cti dan perlu mendapatkan rawatan.

“Kami akan ambil tindakan saman selepas ini,” katanya.

Restoran tiada insurans?

Seminggu kemudian, salah seorang ahli keluarga mangsa pula tampil meluahkan rasa kesal terhadap pihak restoran berkenaan yang dikatakan masih ‘berdiam diri’.

“Owner kedai ambil nombor telefon kami dan cakap nak call tapi tak ada langsung. Kami yang kena contact kedai dan minta nombor dia.

“Bila call kedai dan tanya apa update tentang kejadian yang menimpa kami sekeluarga? Admin kata, ‘Ini kes tahun lepas kan?’. Sedangkan kes baru terjadi, staff tak diberitahu tentang kejadian kami dan kedai masih beroperasi seperti biasa.

“Kedai tak ada insurans dan berniaga tak ada untung. Dulu kedai satu pintu, sekarang dua pintu. Sekarang masih aktif promosi untuk berbuka puasa,” katanya.

Tindakan selanjutnya selepas mangsa pulih

Bagaimanapun, pihak restoran tersebut tampil mengeluarkan kenyataan dan memaklumkan telah berjumpa dan menziarahi mangsa pada 11 dan 14 Mac lalu.

“Kami sudah menziarah, berjumpa dan berbincang dengan mangsa. Dan hasil perbincangan kami sudah mencapai kata sepakat untuk tindakan selanjutnya.

“Laporan telah dibuat dan siasatan dari pihak bomba juga telah dijalankan. Keutamaan sekarang adalah untuk mangsa pulih dan selepas itu tindakan selanjutnya akan dilakukan.

“Insha-Allah doakan mangsa segera pulih supaya kes dapat diselesaikan dengan sewajarnya. Sekali lagi kami ingin meminta maaf di atas segala kekurangan dan kesilapan dari pihak kami,” kata kenyataan itu.

Sumber: Noor Ayob Fatynanana, Asri Yusof

The post Gas steamboat meletup, 7 sekeluarga melecur teruk di muka & tangan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar