-->

Bos Mydin bidas Akmal ‘eksploitasi’ isu stoking kalimah Allah

Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin, membidas tindakan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang dilihatnya cuba ‘mengeksploitasi’ isu penjualan stoking yang memaparkan kalimah Allah.

Menurut Ameer, gesaan Akmal kepada umat Islam untuk memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Supermart – tempat di mana stoking tersebut ditemui sebelum ini – boleh memberi kesan negatif kepada keyakinan pelabur dan mata pencarian pekerja, yang kebanyakannya adalah orang Melayu dan Islam.

Sebagai Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Ameer berkata, KK Supermart dan kilang yang terlibat telah tampil memohon maaf.

“Dia nak heboh-hebohkan lagi buat apa? Sepatutnya parti politik menjauhi isu 3R, kalau dah terjadi kita tak mahu bakar lagi, letak minyak tanah lagi.

“KK Supermart dan kilang itu pun dah minta maaf, apa lagi yang mereka boleh buat?” kata Ameer

Walaupun isu ini adalah serius, Ameer berpendapat ia tidak perlu diperbesarkan, terutama untuk kepentingan politik.

Isu ini bermula apabila gambar stoking yang memaparkan kalimah Allah yang dijual di cawangan KK Supermart di Bandar Sunway, Selangor menjadi tular di media sosial minggu lalu.

Pengurusan KK Supermart dan syarikat pembekal, Xi Jian Chang Sdn Bhd, telah tampil memohon maaf berikutan insiden tersebut. Walaupun KK Supermart telah menaikkan notis permohonan maaf digital di cawangannya, Akmal masih menggesa kedai itu diboikot dan menaikkan kain rentang permohonan maaf.

Sumber: Free Malaysia Today

The post Bos Mydin bidas Akmal ‘eksploitasi’ isu stoking kalimah Allah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar