-->

‘Arahan kantin sekolah mesti dibuka bulan Ramadan keterlaluan’ – Pemimpin PAS

Baru-baru ini Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan berkata operasi kantin sekolah perlu dibuka sepanjang bulan Ramadan bagi menghormati pelajar-pelajar sekolah yang bukan beragama Islam. Selain itu juga bagi kemudahan kanak-kanak Islam yang tidak berpuasa pada usia awal.

Katanya langkah tersebut selaras dengan proses pendidikan dalam memahamkan dan menghormati antara satu sama lain.

Kenyataan tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai persepsi. Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya beranggapan arahan tersebut sebagai keterlaluan.

“Mereka (pelajar bukan Islam) boleh hadir ke sekolah dengan bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan. Itu sudah memadai tanpa perlu arahan agar kantin dibuka yang dilihat agak keterlaluan.

“Ironinya, Dewan Ulama PAS Pusat melihat menteri sendiri gopoh dalam mengeluarkan arahan sedemikian seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan para pelajar Muslim yang harus diasuh untuk berpuasa sejak daripada kecil.

“Perkara sebegini hanyalah mencetuskan polemik tidak perlu dan membuang masa,” katanya.

Bukan menghalang, tapi berlaku secara harmoni

Ahmad berkata perkara itu boleh berlaku secara harmoni tanpa perlu ada arahan supaya kantin dibuka sepanjang bulan Ramadan.

“Bukan bermaksud kita menghalang pelajar bukan Islam untuk makan di siang hari, cuma ia juga satu bentuk didikan supaya mereka menghormati bulan Ramadan sejak di alam persekolahan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga adalah ahli Parlimen Pokok Sena berkata, PAS berpandangan bahawa perkara itu telah menjadi uruf setempat dan kebiasaan rakyat di negara ini untuk menghormati umat Islam yang sedang berpuasa termasuk pelajar sekolah.

“Seharusnya kita memulakan langkah dengan memberikan pendidikan terhadap kepentingan berpuasa khusus kepada pelajar yang beragama Islam.

“Golongan pelajar bukan Islam juga akan turut menghayati kepentingan berpuasa walaupun tidak ada paksaan terhadap mereka,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini

The post ‘Arahan kantin sekolah mesti dibuka bulan Ramadan keterlaluan’ – Pemimpin PAS appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar