-->

‘Ada sedikit kesilapan teknikal’ – Wakil pengurusan The Gadys

Kumpulan The Gadys yang dianggotai oleh Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan, telah dikritik teruk oleh netizen selepas video persembahan mereka yang kurang memuaskan dalam Anugerah KNKV Viral 2024, tular di media sosial.

Bagaimanapun, wakil pengurusan Universal Music Malaysia & Valient Music, tampil menjelaskan bahawa berlakunya kesilapan teknikal yang menjadi salah satu faktor persembahan The Gadys terganggu.

“The Gadys tenang berdepan dengan kritikan, mereka baca komen tetapi memilih tidak panjangkan. Mereka akui kesilapan dan akan berusaha memantapkan vokal.

“Mereka ada mengikuti kelas vokal, tapi dengan apa yang berlaku, mereka akan tingkatkan lagi latihan.

“Cuma apa yang berlaku sebenarnya membabitkan sedikit kesilapan teknikal. Sebenarnya mereka berlatih menggunakan minus one dengan ‘key’ yang lebih rendah. Namun, pada hari kejadian, produksi menggunakan minus one mereka dengan ‘key’ yang lebih tinggi,” katanya.

Namun katanya itu bukanlah alasan untuk menyalahkan pihak produksi dan mereka mengakui kekurangan The Gadys.

Tambahnya lagi, tiga hari sebelum persembahan di KNKV Viral 2024, The Gadys telah membuat persembahan di Konsert Hari Radio dengan live band dan persembahan mereka berjalan dengan lancar. Wakil pengurusan itu juga menggalakkan orang ramai mencari video tersebut di YouTube untuk membuat perbandingan.

Wakil pengurusan juga berharap agar netizen memberikan peluang kepada The Gadys untuk memperbaiki mutu nyanyian mereka dan tidak terus mengkritik.

“Kami tidak menyalahkan sesiapa dan memang kesilapan daripada pihak kami sendiri. Namun, kami harap janganlah terus mengkritik sebaliknya berilah peluang pada The Gadys untuk perbaiki mutu nyanyian,” katanya.

Sumber: Berita Harian

The post ‘Ada sedikit kesilapan teknikal’ – Wakil pengurusan The Gadys appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar