-->

‘Abah, jumpa nanti di akhirat & syurga’

‘Abah tunggu Atar di syurga!’ Itu kata-kata yang diungkapkan oleh seorang kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Attar Azim sembilan tahun sejurus sahaja melihat jenazah bapanya di depan mata.

Kata-katanya telah meruntun hati orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut.

Dengan nada teresak-esak Attar tidak berhenti meluahkan kata-kata buat kedua ibu bapa serta adik beradiknya. Kelihatan sepasang warga emas dipercayai nenek dan datuknya cuba menenangkan Attar.

“Attar nak hidup dengan semua orang, nak tunggu sampai syurga tapi abah dan semua dah tinggalkan Atar dulu.

“Abah jangan risau, Attar akan belajar rajin-rajin,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kejadian kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi yang mengorbankan empat nyawa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, pasangan suami isteri terbabit dan anak perempuan berusia dua tahun disahkan terkorban di lokasi kejadian, manakala seorang lagi anak lelaki berumur enam tahun meninggal dunia di hospital.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa, berkata kemalangan membabitkan kereta jenis Nissan March dan Perodua Myvi itu turut menyebabkan tiga mangsa cedera.

Beliau berkata, mangsa terkorban adalah mereka yang menaiki Perodua Myvi, manakala seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan.

Sumber: Mat Jenazah, Berita Harian

The post ‘Abah, jumpa nanti di akhirat & syurga’ appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar