-->

Ustazah Asma’ Harun dakwa filem La Luna undang persepsi buruk pada agamawan

Filem La Luna mendapat kritikan ramai kerana dikatakan telah menghina agama Islam, tidak menjaga sensitiviti serta mengandungi ‘soft porn’ yang dianggap tidak sesuai untuk tontonan masyarakat.

Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun dalam satu kenyataan di Facebook juga mengecam tindakan produksi yang menayangkan cerita berkenaan. Katanya, setiap penggiat industri boleh bebas berkarya dengan menjunjung tinggi nilai Islam tanpa memperlekehkan agama.

“Sama ada pengarah, penerbit, penulis skrip, pelakon dan lain-lain bebaslah berkarya dengan menjunjung tinggi nilai Islam dan kesopanan budaya tempatan, jangan sampai agama sendiri diperlekehkan.

“Jika benar ada ‘seni’ yang ingin disampaikan, pastikan ia digambarkan dalam bentuk yang positif dan penuh adab. Bukannya menzahirkan sisi yang boleh mengundang prasangka buruk dan fahaman yang mengelirukan,” tulisnya.

Katanya lagi, filem berkenaan dilihat merendahkan golongan agamawan serta mempromosikan adegan yang tidak sepatutnya. Selain itu juga, dia mempersoalkan fokus utama cerita berkenaan dengan menjadikan pakaian dalam wanita menjadi mesej utama sedangkan ia merupakan perkara peribadi untuk diceritakan lebih-lebih lagi dalam adab Melayu.

Selain itu juga, katanya terdapat beberapa dialog yang menggambarkan seolahnya perbuatan zina bukan perkara besar hingga boleh dijadikan bahan gurauan.

“Jarum liberalisme yang sangat halus telah membentuk pemikiran kita menjadi tidak sensitif dan mencipta ayat “Apa salahnya..”, “Tak apa…”, “Tak kan tak faham, inikan seni.

“Akhirnya normalisasi pemikiran liberal ini pun meresap sedikit demi sedikit ke dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari,” katanya.

Gambarkan dalam bentuk positif

Sehubungan dengan itu, dia menyeru kepada penggiat seni agar menggambarkan sesuatu dalam bentuk posiitf dan penuh adab serta tidak menzahirkan sisi yang boleh mengundang prasanga buruk dan fahaman yang mengelirukan.

Dalam pada itu dia turut mencadangkan agar FINAS dan JAKIM mengambil peranan dalam memastikan sesebuah drama mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Dalam isu ini, peranan FINAS dan JAKIM wajib diperkukuhkan dalam memastikan penghasilan filem atau drama mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Begitu juga peranan bahagian penapisan filem dan drama haruslah diperluaskan ke filem yang dimuatnaik ke penstriman video dalam talian.

“Kami sentiasa menyokong dan menghormati setiap perjuangan individu atau organisasi selaku yang pakar dalam bidang industri perfileman demi memastikan industri filem dan drama tidak tercemar dengan unsur-unsur penghinaan dan memberi persepsi buruk terhadap agama Islam. Moga segala usaha dalam memastikan filem dan drama di negara ini benar-benar ditapis dan ke arah patuh syariah dipermudahkan,” katanya.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

The post Ustazah Asma’ Harun dakwa filem La Luna undang persepsi buruk pada agamawan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar