-->

‘Penyanyi tak dibayar, sedangkan penganjur dapat tajaan berjuta & untung jual tiket’ – Jamal Abdillah tarik diri dari AJL 38

Keputusan penyanyi terkenal, Dato’ Jamal Abdillah menarik diri dari pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL38) mengejutkan semua pihak terutamanya peminat setia beliau.

Menerusi satu laporan portal, tindakan beliau adalah kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan pihak produksi berkenaan yang didakwa tidak memberikan bayaran kepada peserta AJL. Beliau berasakan situasi ini tidak adil kepada peserta atau penyanyi sedangkan pihak produksi dapat mengaut keuntungan melalui jualan tiket.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu tentang jualan tiket dan membuat keputusan menarik diri kira-kira sebulan lalu.

“Saya juga sudah berbincang dengan syarikat penerbit lagu dan mereka juga seolah-olah tidak mahu keluarkan bayaran. Jadi saya rasa malas untuk berbincang lanjut dan lebih baik tarik diri.” katanya.

Bukan soal wang semata-mata

Katanya lagi, isu ini bukan soal wang semata-mata tetapi lebih kepada memperjuangkan nasib artis muda yang lain.

“Isu ini bukan soal duit semata-mata, saya ada pendapatan lain juga. Tetapi apa yang saya lakukan ini adalah untuk memperjuangkan nasib artis muda. Kalau saya tak buat perkara ini akan terus berlarutan.

“Setidak-tidaknya keluarkanlah sedikit bayaran kerana produksi menjual tiket dan mereka terima tajaan berjuta ringgit.

“Artis baru mungkin tidak berani bersuara, jadi biar saya yang buat. Kalau produksi nak ban saya pun tidak ada masalah. Bukan senang untuk penyanyi macam kami ini mahu cari rezeki,” katanya.

FMC sahkah penarikan Jamal

Sementara itu, Syarikat rakaman FMC Music selaku penerbit lagu Kucuma mengesahkan keputusan Jamal Abdillah menarik diri daripada menyertai Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada 3 Mac depan.

Mnerusi laporan media pula, Jamal berkata keputusan tersebut dibuat kerana terikat dengan komitmen lain.

12 buah lagu yang layak ke AJL 38, antaranya lagu Kucuma duet antara Jamal Abdillah dan Wany Hasrita. Difahamkan, nama Afieq Shazwan dikatakan antara calon yang akan menggantikan Jamal Abdillah berkongsi pentas bersama Wany Hasrita di AJL nanti.

Sumber: mStar, Kosmo

The post ‘Penyanyi tak dibayar, sedangkan penganjur dapat tajaan berjuta & untung jual tiket’ – Jamal Abdillah tarik diri dari AJL 38 appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar