-->

Cubaan bina ‘Kerajaan 9’ & isu madrasah, PDRM pantau Mawla Amin & pengikut

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sedang memantau seorang lelaki warganegara Maghribi yang mengaku sebagai nasab (keturunan) ke-38 Nabi Muhammad S.A.W. Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sedang memantau pergerakan Mawla Amin lelaki yang dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin al- Hasani dan pengikutnya.

PDRM turut bertindak menerusi laporan terdahulu yang menyatakan seorang pengetua sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah. Madrasah berkenaan juga dilaporkan sebuah pusat pengajian yang tidak berdaftar dan mempunyai beberapa kes dalam siasatan.

Menerusi laporan juga, madrasah berkenaan sudah membeli sebidang tanah dalam anggaran 11 hektar di Melaka. Tanah berkenaan dikatakan merupakan hasil kutipan dana daripada pengikutnya.

Bina perkampungan Kerajaan 9

Difahamkan, tanah berkenaan dibeli bagi tujuan untuk membina perkampungan Kerajaan 9 yang dikatakan akan menjadi persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Tanah tersebut yang merupakan milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka dibeli baru-baru ini dan dikatakan akan menjadi penempatan individu dari luar yang diangkat menjadi Imam Mahdi.

Dalam pada itu, Ketua Zawiyah al-Wazaniyah di Maghribi, Sharif Wazani Tayeb menafikan beliau mengenali Mawla Amin.

“Dia (Mohamed Amin Ouradj yang juga dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani) bukan daripada keluarga kami (Keluarga Wazani, Ahlul Bait), saya tidak kenal dia, saya bukan pak cik dia,” katanya.

Katanya, kehadiran beliau ke Zawiyah Wazani untuk mengambil gambar dan kemudian gambar tersebut digunakan sebagai bukti kononnya dia berketurunan Wazani.

Wazani merupakan nama keluarga ‘Ahlul Bait’ yang diasaskan oleh Muleh Abdullah Syarif.

Sharif Wazani Tayeb adalah keturunan Hassan bin Ali yang ke-34 dan Zawiyah Wazaniyah ialah badan bertanggungjawab untuk menjaga nasab keturunan Nabi Muhammad S.A.W di Maghribi.

Tiada kaitan dengan nasab Nabi Muhammad

Sementara itu, Kementerian Luar Maghribi, Bahagian Hal Ehwal Asean menyatakan bahawa individu terbabit tidak mempunyai kaitan dengan nasab suci Baginda SAW dan sebarang perkaitan dengan Sharif Idrissi.

“Mawla Muhammad Amin atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendokongnya.

“Pihak berkuasa agama Maghribi sama sekali tidak menyokong sama ada aktiviti atau ajaran agama daripada individu ini,” tulis laporan itu.

Pihak Kementerian Luar Maghribi turut menafikan kewarganegaraan lelaki itu. Beliau adalah warga Perancis-Algeria dan mengambil kesempatan terhadap reputasi ulama Maghribi.

Sumber: Harian Metro

The post Cubaan bina ‘Kerajaan 9’ & isu madrasah, PDRM pantau Mawla Amin & pengikut appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar