-->

Pengemis kutip hasil mengemis RM500 dalam tempoh 4-5 jam, mampu beli kereta Proton X70

Menagih simpati ramai dengan meminta sedekah, siapa sangka lelaki berkenaan mampu memiliki sebuah kereta jenis Proton X70 Premium. Perkara tersebut didedahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Maran (JKM) menerusi satu operasi yang dijalankan di Pasar Malam Sri Jaya, Maran.

Semasa operasi dijalankan, pegawai Penguat Kuasa JKM Maran bertanyakan lelaki tersebut tujuan dia meminta sedekah. Bagaimanapun soalan itu tidak dijawab namun didapati lelaki berkenaan merupakan seorang OKU fizikal.

“Beliau kelihatan seperti seorang yang pekak dan bisu. Dilihat di dalam beg kertasnya ada kepingan duit kertas. Berkali-kali Penguatkuasa JKM meminta kad pengenalan bagi tujuan rekod operasi pada hari ini tetapi tidak mendapat respon daripada lelaki tersebut.

“Setelah didesak barulah lelaki tersebut bersuara. Normal rupanya. Beliau bukanlah seorang yang pekak dan bisu. Cuma seorang OKU fizikal (kedua-dua belah tangannya tidak normal),” katanya.

Pegawai Penguat Kuasa kemudiannya dibawa ke kereta lelaki berkenaan dan terkejut mendapati dia memiliki sebuah kereta Proton X70 Premium.

“Beliau mengatakan bahawa kad pengenalannya berada di dalam kereta. Penguatkuasa JKM mengekori lelaki tersebut ke keretanya. Percaya atau tidak, Seorang yang tadinya hanya berdiri meraih simpati orang ramai atas kekurangan dirinya memandu sebuah Proton X70 Premium,” katanya.

Terima elaun pekerja OKU

Semakan daripada pihak JKM Maran mendapati lelaki berkenaan menerima Elaun Pekerja OKU daripada pihak JKM dan memperoleh sebanyak RM450 sebulan sejak tahun 2001.

“Beliau tinggal di Balok, Kuantan dan akan ke pasar-pasar malam untuk menjalankan aktiviti pengemisan. Semakan juga mendapati beliau menerima Elaun Pekerja OKU daripada pihak JKM sebanyak RM450.00 sebulan sejak tahun 2001 lagi. Beliau juga mengaku bahawa kereta Proton X70 Premium tersebut adalah miliknya.

Dalam masa sama, JKM Maran turut mendedahkan, hasil daripada kutipan mengemis, lelaki tersebut memperoleh hasil mencecah RM500 dalam tempoh empat hingga lima jam berada di pasar-pasar malam.

Bagaimanapun, lelaki tersebut dilepaskan dengan amaran oleh Penguatkuasa JKM.

Sumber: JKM Maran

The post Pengemis kutip hasil mengemis RM500 dalam tempoh 4-5 jam, mampu beli kereta Proton X70 appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar