-->

Lelaki Pakistan tukar pengakuan tidak bersalah atas tuduhan rogol wanita di jejantas KTM Serdang

Seorang warga Pakistan yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan merompak seorang wanita di Jejantas Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang bulan lalu, telah menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Tertuduh, Muhamad Mudasar, 23, yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan merompak seorang wanita berusia 29 tahun dan meletakkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan dengan mengacukan sebilah pisau kepada mangsa di jejantas itu, kini menafikan tuduhan tersebut.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 12.45 tengah malam, 14 Januari 2024.

Muhamad hanya mengakui pertuduhan dan fakta kes kesalahan merompak, tetapi tidak mengakui gambar barang-barang kes selepas ditunjukkan kepadanya pada prosiding semalam.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes rompak dihadapi Muhamad, yang turut menukar pengakuan kepada tidak bersalah pada prosiding hari ini.

Muhamad dan rakan senegaranya Muhammad Waqas, 29, didakwa merompak dua telefon bimbit bernilai RM2,070 milik seorang wanita berusia 20 tahun menggunakan sebilah pisau di tempat sama pada 11.15 malam 30 Disember lepas. Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pada prosiding sebelum ini, Muhammad Waqas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta dibicarakan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

The post Lelaki Pakistan tukar pengakuan tidak bersalah atas tuduhan rogol wanita di jejantas KTM Serdang appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar