-->

Lelaki kantoi guna IC palsu untuk bekerja sebagai guru, dipenjara 10 bulan, denda RM6K

Seorang lelaki mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di Tenom, Sabah. Perbuatan itu dilakukan sejak 29 tahun lalu.

Susulan itu, tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret.

Tertuduh, Ridal Abdul Kadir, diarah menjalani hukuman berkenaan dari tarikh tangkap pada 29 Januari lepas dan sekiranya gagal membayar denda akan dikenakan penjara tambahan selama enam bulan.

Menerusi satu laporan, tertuduh dikatakan membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, pada 11.30 pagi, 29 Januari lepas satu pemeriksaan dokumen telah dijalankan di kawasan letak kenderaan, kuarters guru sekolah berkenaan sebelum tertuduh ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bernombor 700711-12-5369 atas nama Ridal Bin Abdul Kadir.

Guna kad pengenalan palsu bertaraf warganegara

Menerusi semakan dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan bertaraf warganegara yang palsu dengan nombor dan nama tersebut untuk bekerja sebagai guru di sekolah itu.

Kad pengenalan dengan nombor dan nama sama pernah dikeluarkan oleh JPN dengan taraf Pemastautin Sementara. Tertuduh juga didapati memiliki Dokumen Pengenalan Sementara dengan nombor serta nama sama dan Daftar Kelahiran bertaraf bukan warganegara sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Ridal, Korventt Wheezar meminta hukuman ke atas tertuduh diringankan. Ini kerana katanya, sepanjang 29 tahun mengajar di sekolah itu, tertuduh tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah dan sentiasa berkelakuan baik, selain mengaku salah dalam kes berkenaan.

Sumber: Bernama

The post Lelaki kantoi guna IC palsu untuk bekerja sebagai guru, dipenjara 10 bulan, denda RM6K appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar