-->

‘MRSM untuk yang cerdik pandai, ada kelayakan akademik’ – Rita Rudaini

Isu kuota di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) menjadi topik hangat di media sosial baru-baru ini, dengan kenyataan kontroversi yang menyatakan “Golongan T20 hantar anak ke MRSM untuk belajar erti kesusahan”.

Pelakon terkenal, Rita Rudaini, yang juga ibu kepada dua orang anak, telah memberikan pandangannya mengenai isu ini.

Menurut Rita, MRSM seharusnya dibuka untuk pelajar yang cerdik dan mempunyai kelayakan akademik, bukan berdasarkan kuota. Malah menegaskan, semua golongan berhak memohon dan yang memenuhi syarat seharusnya diterima.

Banyak tempat lain nak belajar erti hidup susah

Beliau juga mengkritik alasan bahawa “Golongan T20 hantar anak ke MRSM untuk belajar erti kesusahan“, sedangkan ada banyak tempat lain untuk belajar erti hidup susah. Contohnya seperti di rumah kebajikan. Tindakan pihak berkenaan mengeluarkan kenyataan seperti itu dilihat hanya akan mengundang perpecahan dalam masyarakat.

“MRSM untuk yang cerdik pandai, yang ada kelayakan akademik. Susah sangat ke? Simple je saya nak beritahu, ‘Semua golongan berhak memohon, yang ada kelayakan, boleh masuk’.

“Bahaya ‘alasan’ macam ni. Nak belajar (hidup) susah, banyak lagi tempat boleh hantar. Kat rumah kebajikan pun boleh. Adui, statement memang mengundang masyarakat bergaduh,” katanya menerusi hantaran di Instastory, semalam.

Sistem kuota menyebabkan wujudkan kasta dalam masyarakat

Tambah beliau, sistem kuota ini telah mencipta ‘kasta’ dalam masyarakat, yang mengakibatkan ketidakpuasan dan ketidaksefahaman. Dan pihak yang memperkenalkan sistem kuota ini adalah pihak yang merosakkan anak bangsa.

“Saya sendiri malu bila selalu dengar ‘kuota’ ini. Di sini dah nampak bangsa ‘diasingkan’ mengikut kasta. Selepas itu, mulalah ada yang melabelkan golongan itu begitu dan begini. Anak-anak yang berpotensi nak belajar pun terganggu.

“Jadi bila wujudkan kuota macam ini, ada yang mohon tak dapat. Mulalah menuding jari orang itu ambil kuota dia. Orang ini curi kuota anak dia. Dan yang paling sadis sekali, bila ada guru sendiri yang menuduh orang itu curi, orang ini curi kuota.

“Ada pelajar-pelajar pun dah pandai melabel-labelkan kawan-kawan. ‘Kau B40 ek?’, ‘Dia tu T20’. Nampak? Rosak teruk,” jelasnya.

Akhir sekali, Rita menegaskan bahawa pelajar-pelajar harus belajar bersama-sama, dan masalah sebenarnya adalah orang dewasa yang sibuk bertelagah tentang kuota.

“Budak-budak tetap belajar sama-sama, duduk mencicah biskut sama-sama, bersukan sama-sama. Yang bermasalah adalah orang dewasa inilah, sibuk bertelagah bab kuota. So 1996!” ujarnya.

The post ‘MRSM untuk yang cerdik pandai, ada kelayakan akademik’ – Rita Rudaini appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar