-->

Influencer terbit konten dakwa kedai mamak menjijikkan, PRESMA tampil buat laporan polis, saman

Seorang pempengaruh di TikTok yang mempunyai 1.3 juta pengikut baru-baru ini telah memuat naik video berjudul ‘Jangan makan dekat kedai mamak yang ada buat empat benda ini’, yang telah menarik perhatian ramai.

Dalam video tersebut, beliau telah menyenaraikan empat perkara yang didakwakan berlaku di beberapa kedai mamak, berdasarkan maklumat yang diterimanya. Antara perkara tersebut adalah:

  1. ‘Nasi Beriani dibaluti spender lelaki’ – Kejadian ini dikatakan berlaku di sebuah kedai mamak di Kuala Lumpur. Seorang wanita bernama Liza telah menyedari bahawa bekas untuk menyimpan nasi beriani dibaluti dengan spender lelaki berwarna putih.
  2. ‘Toyol kencing dalam makanan’ – Seorang lelaki alim dikatakan telah melihat seekor toyol sedang kencing dalam periuk kuah kari di sebuah kedai mamak.
  3. ‘Guna air mandian untuk buat kuah kari’ – Menurut cerita seorang bekas pekerja kedai mamak di Perak, pemilik kedai tersebut dikatakan menggunakan air mandian untuk membuat kuah yang dijual di kedai tersebut.
  4. ‘Najis beku dalam kuah roti canai’ – Seorang lelaki yang diberi nama samaran Ahmad, telah mendapati najis yang sudah keras dalam kuah dal yang disajikan bersama roti canainya.

PRESMA lapor polis, bakal ambil tindakan undang-undang

Video tersebut telah meraih lebih daripada sejuta tontonan dan telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen. Video yang sama juga telah menarik perhatian Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), yang kemudian membuat laporan polis kerana menganggap kandungan video tersebut tidak masuk akal dan berniat jahat.

Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib JKhan, telah memberi amaran bahawa mereka akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pempengaruh tersebut walaupun video tersebut telah dipadam.

Takkan berdamai

“Kami tak tahu apa tujuan dia. Bagi saya ini satu tohmahan yang melampau dan kami akan susuli dengan tindakan mahkamah walaupun dia telah memadamkan video itu, tiada ruang untuk kami tarik balik laporan polis.

“Kami tidak akan berdamai dengan dia kerana fitnah yang dilakukannya itu terlalu mengaibkan dan kita mahu jadikan kes ini sebagai pengajaran kepada semua blogger atau pempengaruh TikTok,” tegasnya

Hampir 100 laporan polis telah dibuat oleh ahli Presma terhadap pempengaruh tersebut dan jumlah laporan tersebut dijangka akan bertambah dalam masa terdekat.

Presiden PRESMA menggesa pihak berkuasa menyiasat kes tersebut dengan teliti kerana ia telah menjatuhkan kredibiliti pengusaha restoran mamak dan menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).

Sumber: Harian Metro, TikTok

The post Influencer terbit konten dakwa kedai mamak menjijikkan, PRESMA tampil buat laporan polis, saman appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar