-->

Presiden KPKSM dakwa ratusan pegawai rendah Kastam dipindah secara paksa oleh pengurusan tertinggi

Ratusan pegawai rendah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendakwa menjadi mangsa pengurusan tertinggi jabatan berkenaan selepas dipindahkan secara paksa dan dibuat tanpa mengambil kira kebajikan pegawai terlebih dahulu.

Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Abdul Malik Mohamed Zin berkata, perintah pertukaran yang dikeluarkan adalah muktamad dan sebarang rayuan tidak dibenarkan seperti dinyatakan dalam surat arahan pertukaran berkenaan.

Menurutnya, bukan itu sahaja, malah pengurusan tertinggi iaitu Ketua Pengarah Kastam yang baharu turut dilihat mempunyai tanggapan negatif terhadap pemimpin KPKSM.

“Ketua Pengarah memberi arahan secara lisan kepada Pengarah Kastam negeri Perak yang mana negeri saya bertugas untuk diambil tindakan disiplin berkaitan kesalahan berkaitan integriti.

“Apabila tiada tindakan yang diambil disebabkan tidak berlaku apa-apa kesalahan, satu arahan pertukaran penempatan dikeluarkan pada 11 Disember 2023 yang menukarkan Presiden KPKSM dari JKDM Perak ke JKDM Lawas di Sarawak berkuat kuasa 2 Januari 2024 dengan alasan sudah lama bertugas di JKDM.

“Ini adalah satu usaha untuk memecah belahkan KPKSM, kita juga lihat ia adalah manipulasi kuasa,” katanya.

Abdul Malik berkata, pihaknya melihat elemen ihsan yang menjadi salah satu rukun dalam Konsep Malaysia Madani yang menekankan peduli dan belas kasihan terhadap orang lain keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya.

“Perasaan ihsan ini adalah soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain lalu berusaha mencari jalan bagi mengubatinya. Hal ini seiring dengan aspirasi dan perjuangan KPKSM yang senantiasa mengangkat hal berkaitan kebajikan ahli-ahlinya.

Manipulasi kuasa

“Tindakan ini dilihat oleh KPKSM sebagai satu tindakan memanipulasi kuasa dan cubaan untuk melenyapkan suara kesatuan di dalam jabatan.

“Pemimpin kesatuan lain ditukarkan adalah Penolong Setiausaha Agung yang ditukarkan dari KLIA ke Johor,” katanya.

Menurutnya, Ketua Pengarah Kastam juga didakwa tidak menghormati perundingan majikan pekerja di dalam Majlis Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ) yang dibuat bersama Ketua Pengarah Kastam terdahulu dengan menyatakan segala keputusan MBJ terdahulu adalah sebagai satu sejarah.

“MBJ ialah sebuah medium dua hala, yang mana pekerja diberi saluran untuk berkomunikasi dengan pihak pengurusan dalam menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea-idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan organisasi.

“Justeru itu, pihak KPKSM mendesak arahan pertukaran ini dibatalkan serta merta. Kita juga sudah menghantar surat kepada Menteri Kewangan pada 26 Disember lalu, namun masih belum menerima sebarang jawapan,” katanya.

Pertukaran dibuat berdasarkan peraturan & garis panduan

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Anis Rizana Zainudin berkata pertukaran antara negeri bagi pegawai kastam dilaksanakan berdasarkan peraturan dan garis panduan.

Anis berkata arahan yang dikeluarkan untuk pertukaran pegawai adalah selaras dengan polisi Perintah Pelantikan Tetap Jabatan No.78 bertarikh 10 Ogos – sebulan sebelum pelantikannya.

Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini

The post Presiden KPKSM dakwa ratusan pegawai rendah Kastam dipindah secara paksa oleh pengurusan tertinggi appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar