-->

Pelajar maut dilanggar & diseret sejauh 5 meter, suspek tak puas hati mangsa buat bunyi bising dengan ekzos motosikal

Seorang pelajar tingkatan lima dilaporkan maut akibat dilanggar sebuah kereta dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, pada jam 12.30 tengah Jumaat, 15 Disember 2023.

Mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamri, 17, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian dada dan abdomen.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari.

Siasatan awal mendapati, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Perodua Ativa yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dan motosikal jenis Yamaha dipandu mangsa berusia 17 tahun.

Suspek yang juga Pegawai Kanan Polis dari PDRM Kontinjen Kedah, telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Yahaya menegaskan, PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti kukuh berhubung kejadian itu. Beliau turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan sebarang kegusaran awam.

Saksi dakwa suspek terus langgar mangsa

Sementara itu, ada beberapa saksi kejadian tampil menceritakan kejadian tersebut di media sosial. Salah seorang saksi mendakwa, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang membuat bunyi bising dengan ekzos motosikalnya semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Suspek kemudian mengejar mangsa kira-kira satu kilometer dan melanggarnya dari belakang sehingga terjatuh sebelum diseret sejauh lima meter serta meninggalkan lokasi kejadian.

“Saya saksi kejadian depan mata. Suspek ligan mangsa satu taman. Sampai dekat simpang tiga, si mangsa give up dan perlahankan motosikal dengan harapan suspek juga memperlahankan kenderaannya.

“Tetapi suspek terus melanggar mangsa. Dua tayar kanan lenyek badan mangsa,” kata saksi s9hahameer.

Saksi lain pula memaklumkan, tidak beberapa lama kemudian, suspek kembali ke lokasi untuk melihat keadaan mangsa. Namun beredar selepas orang awam semakin ramai di tempat kejadian.

Sumber: IPD Ipoh, Harian Metro, Facebook

The post Pelajar maut dilanggar & diseret sejauh 5 meter, suspek tak puas hati mangsa buat bunyi bising dengan ekzos motosikal appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar