-->

‘Bukan hak dia buat adik saya macam tu’ – Kakak mangsa

Jenazah pelajar tingkatan lima SMK Jati, Meru, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut dilanggar pegawai kanan polis dari PDRM Kontinjen Kedah semalam, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar.

Kakak mangsa yang juga jururawat, Nur Zawani Muhd Zamrie, 28, berkata, ketika kejadian itu berlaku dia berada berhampiran lokasi dan terkejut apabila mengetahui adik bongsunya terbabit dalam kemalangan.

“Saya pangku dan cuba selamatkan dia. Saya yang buat CPR masa mula-mula tiba di situ. Ketika itu adik masih bernyawa, tetapi sudah tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya.

Nur Zawani kesal adiknya diperlakukan seperti itu sehingga kehilangan nyawa. Sedangkan perkara itu boleh diselesaikan dengan cara lain.

“Kalau dia buat salah sekali pun, datanglah berjumpa dengan mak ayah saya. Kalau hendak dilokap pun tidak mengapa. Bukan hak dia buat adik saya macam tu.

“Adik saya masih remaja dan baru hendak mengenal dunia. Lagi-lagi dia anak bongsu dan kesayangan. Hanya dia seorang sahaja yang masih bersekolah,” katanya memetik laporan daripada Berita Harian, Jumaat, 15 Disember 2023.

Terdahulu seorang pegawai kanan polis dari PDRM Kontinjen Kedah yang terbabit dalam kemalangan itu ditahan dan akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.

Menurut saksi, pemandu itu didakwa sengaja melanggar mangsa hanya kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang membuat bunyi bising pada ekzos motosikalnya semasa dalam perjalanan balik dari sekolah.

Polis mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan di bahagian dada dan abdomen.

Sumber: Berita Harian

The post ‘Bukan hak dia buat adik saya macam tu’ – Kakak mangsa appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar