-->

‘Beta akan buru semua orang yang korup’ – Sultan Ibrahim titah SPRM diletakkan di bawah Agong, bukannya Parlimen

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi satu wawancara menyuarakan hasrat untuk membanteras rasuah. Baginda mahu lebih banyak tanggungjawab diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, termasuk pemantauan secara terus terhadap SPRM dan malah Petronas.

Sultan Ibrahim yang akan menjadi Yang di-Pertuan Agong tak lama lagi berkata, dua badan berkenaan perlu melapor secara terus kepada Istana Negara berbanding Parlimen.

“Sejak zaman moyang saya, kami adalah pemburu yang hebat. Beta akan pastikan apabila pergi memburu, beta bawa pulang hasil yang baik.

“Tetapi apabila beta di KL, ia hutan konkrit. Jadi apa yang beta buru?

“Beta akan buru semua orang yang korup, beta akan pastikan akan ada hasil,” titah Sultan Ibrahim.

Titah baginda lagi, dengan SPRM diletakkan di bawah Agong dan bukannya Parlimen, ia akan dapat menjamin kebebasan suruhanjaya itu.

“Ini bermakna anda tidak di bawah pengaruh mana-mana pihak dalam eksekutif.

“Malah Petronas juga tidak seharusnya di bawah Parlimen, melapor terus kepada beta,” titah Sultan Ibrahim.

Beri peluang kepada kepimpinan Anwar Ibrahim

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menyeru rakyat Malaysia agar memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan dirinya.

Baginda bertitah, tidak mungkin Anwar mampu membuat perubahan mendadak dalam tempoh satu tahun.

“Saya tidak fikir anda boleh menukar negara dalam satu tahun.

“Saya fikir (Kerajaan Perpaduan) ada menteri yang baik seperti (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke Siew Fook,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga menjangkakan tidak akan ada masalah bekerja dengan Anwar kerana baginda mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

Baginda bertitah, Anwar kadangkala menghubunginya untuk mendapatkan nasihat, walaupun pada tengah malam.

“Saya akan menyokong kerajaan, namun jika saya fikir mereka melakukan sesuatu yang tidak wajar, saya akan memberitahu mereka,” titah baginda.

Sumber: Malaysia Kini, Sinar Harian

The post ‘Beta akan buru semua orang yang korup’ – Sultan Ibrahim titah SPRM diletakkan di bawah Agong, bukannya Parlimen appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar