-->

‘Sabeena anakku, maafkan abiy’ – Bayi 7 bulan rentung dalam kereta terbakar

Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dilaporkan rentung dalam kebakaran selepas kereta yang dipandu bapanya terbabit dalam kemalangan di Jalan Gua Musang, Kuala Krai, semalam.

Video kejadian itu turut tular di media sosial dan dapat didengar dengan jelas jeritan ibu bapa mangsa.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4.04 pagi Isnin, kereta Honda Jazz yang dinaiki tiga sekeluarga itu terbabas dan melanggar tiang lampu sebelum terbakar.

Berdasarkan komen di media sosial, mangsa dipercayai terperangkap di kerusi keselamatan kanak-kanak (car seat).

Wan Shahrizat Wan Shahril, 28, cuba menyelamatkan anaknya, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat, 7 bulan. Namun gagal berbuat demikian kerana dia turut disambar api yang menyebabkan badannya terbakar.

Isterinya, Nur Hasidah Razmi, 25, mengalami kecederaan ringan dan hanya mampu meraung menjerit nama mangsa.

“Sabeena Arisha, Sabeena anakku, maafkan abiy,” jerit bapa mangsa.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Fadzil Musa berkata, bayi terbabit ditemui rentung berhampiran kenderaan.

Mangsa telah selamat dikebumikan pada jam 4 petang Isnin, manakala bapa mangsa terpaksa ditidurkan kerana badannya mengalami luka melecur 50 peratus. Nur Hasidah pula dilaporkan masih trauma.

Sumber: Kosmo! Online

The post ‘Sabeena anakku, maafkan abiy’ – Bayi 7 bulan rentung dalam kereta terbakar appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar