-->

PIBG MCKK selar tindakan ibu bapa mangsa tular isu buli, cemar imej kolej

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menyelar tindakan keluarga pelajar yang bertindak menularkan kejadian buli membabitkan pelajar sekolah itu baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, persatuan itu berkata tindakan tersebut telah memberikan impak besar seterusnya membawa imej buruk kepada MCKK secara keseluruhannya.

“Kami mengambil maklum ancaman penularan kes ini melalui surat yang diutuskan oleh sekumpulan ibu bapa murid Tingkatan Empat jika keputusan dan tindakan semasa pihak sekolah terhadap pelajar terbabit tidak diubah.

“Dan kami menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa di dalam pengurusan sekolah ini,” tulis kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, PIBG ujarnya menghormati pendirian pihak sekolah dan Tuan Pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman diberikan oleh sekumpulan ibu bapa pelajar Tingkatan Empat.

Dalam kenyataan itu juga, pihak PIBG MCKK memaklumkan ada menerima laporan mengenai pelajar MCKK yang diherdik dan dihalau dari premis makanan sekitar bandar ini dan dianggap sebagai pembuli.

“PIBG memandang serius perkara ini dan memikirkan risiko kemungkinan diserang dan diganggu oleh pihak luar yang cuba mengambil kesempatan daripada isu ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kejadian buli yang membabitkan pelajar Tingkatan 4 dan 5 di sebuah sekolah berasrama penuh. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sumber: PIBG The Malay College Kuala Kangsar

The post PIBG MCKK selar tindakan ibu bapa mangsa tular isu buli, cemar imej kolej appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar