-->

ATM bersiap-siaga untuk dihantar di Palestin sebagai tentera pengaman jika diarahkan oleh kerajaan – Menteri Pertahanan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada dalam kadaan bersiap-siaga sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengerakkan anggotanya ke Palestin sebagai tentera pengaman.

Ini termasuk persediaan pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) negara yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Biarpun sehingga kini tiada sebarang keputusan mengenai perkara itu daripada PBB, kita tetap bersedia.

“Kalau kerajaan kata hantar tentera ke Palestin, kita akan ikut kerana sebarang keputusan itu bukan dalam bidang kuasa Kementerian Pertahanan. Sebaliknya tertakluk pada Kementerian Luar,” katanya di Dewan Rakyat, Selasa, 31 Oktober 2023.

Bagaimanapun, keputusan itu memerlukan penilaian rapi daripada pelbagai pihak termasuk dari negara sekitar di kawasan bergolak.

Mohammad Hasan juga akan membawa isu berkaitan Palestin dalam sesi perbincangan dengan Menteri Pertahanan ASEAN pada minggu depan sebagai topik sampingan bagi mendengar suara negara serantau berkenaan konflik Palestin-Israel.

“Kita nak dapatkan suara ASEAN kerana kita ada satu pegangan iaitu ASEAN Centrality, sekiranya semua negara ASEAN bersetuju untuk kita hantar tentera ke Palestin di bawah panji PBB,” katanya.

Sumber: Buletin TV3

The post ATM bersiap-siaga untuk dihantar di Palestin sebagai tentera pengaman jika diarahkan oleh kerajaan – Menteri Pertahanan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar