-->

Wanita bergelar ‘Datuk’ curi 2 utas jam Rolex milik suaminya (pegawai polis), didakwa di mahkamah

Seorang wanita berusia 41 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam atas pertuduhan mencuri dua utas jam tangan mewah milik suaminya, dalam kejadian tiga tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Mou Ei Leen @ Eileen Mou, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Ibu kepada dua anak itu didakwa mencuri seutas jam tangan Rolex Sky Dweller dan Rolex GMT Master-II 9 milik suaminya yang juga pegawai polis, di sebuah rumah di Pinggiran Rapat Ria, Januari 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam mencadangkan wang jaminan sebanyak RM7,000. Namun, peguam tertuduh iaitu Gurbachan Singh, memohon jumlah jaminan minimum kerana anak guamnya tidak bekerja (suri rumah) dan perlu menjaga dua anaknya yang masih bersekolah.

Dalam masa sama, tertuduh juga sedang melalui proses perceraian dan tinggal berasingan dengan suaminya sejak dua tahun lalu.

Selepas mendengar hujah berkenaan, Majistret Siti Nora Sharif membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. 22 November untuk tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Kosmo! Online

The post Wanita bergelar ‘Datuk’ curi 2 utas jam Rolex milik suaminya (pegawai polis), didakwa di mahkamah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar