-->

‘Ustaz kata pernikahan kami tak sah & terus buat kesimpulan kami akan berzina?’ – Sabri Yunus jawab tuduhan pernikahannya dengan Angeline Tan tidak sah

Pelakon yang juga pengarah Sabri Yunus, 62, dan Angeline Tan, 56, telah dinikahkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr MAZA pada Sabtu, 14 Oktober lalu.

Dalam majlis tertutup itu, pernikahan pasangan berkenaan turut disaksikan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Bagaimanapun, tampil seorang ulama, Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari mendakwa, pernikahan Sabri dan Angeline tidak sah kerana Sabri dikatakan tidak memenuhi ucapan ijab dan qabul.

Qabul tidak menyebut ‘Saya terima nikahnya’

Ketika akad nikah berlangsung, Sabri mengucapkan dengan ringkas, “Saya terima dengan seperti yang disebutkan”.

Syeikh Nuruddin berkata, ijab dan qabul yang tidak menyebut “Saya terima nikahnya” adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat wajib dalam ijab qabul pernikahan.

“Saya terima nikahnya dengan mas kahwin yang telah disebutkan tadi. Bahasanya cantik sedikit. Kena sebut terima apa, terima duit? Kereta? Pinjaman? Jadi, kena ada sebutan “Aku terima akad nikahnya dengan mas kahwin yang disebutkan tadi”, itu okay,” jelasnya.

Selain itu dia mendakwa, ijab qabul yang berlangsung juga agak sedikit lambat (ucapan Sabri). Sedangkan ijab qabul itu disyaratkan segera, bersamubng. Tidak ada pemisah antara ijab dan qabul. Dan sebaiknya diulangi sekali lagi.

Justeru, beliau meminta perkara itu diperbetulkan segera dan jika tidak, hubungan yang terjalin itu adalah sama dengan hubungan zina.

Tuduhan berzina itu berat

Namun bagi Sabri, tuduhan yang dilemparkan oleh Syeikh Nuruddin itu adalah sangat berat dan tidak menyangka perkara itu akan menjadi isu.

“Seorang ustaz dengan jelas dan terang mengata pernikahan kami tidak sah. Dan terus membuat kesimpulan kami akan berzina. Berat tuduhan itu. Juga dalam video yang sama, dikatanya qabul yang mengelirukan. Siapa yang keliru?

“Soal pandangan mazhab dah jelas ada khilaf dan setujunya. Saya tak fikir ada orang tak faham bila qabul jawab saya setuju. Tak mungkin ada orang akan fikir setuju pada hal lain selain daripada setuju hal nikah.

“Tak mungkin ada yang fikir dia setuju pasal kereta, rumah.. jelas wali sebut aku nikah. Bila qabul sebut setuju, tentu saja menyambut pada kata nikah itu. Yang kata dia keliru itu adalah orang yang sangat lemah permikirannya atau yang sengaja melemahkan fikirannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambahnya lagi, dia mengetahui ustaz berkenaan banyak tidak sependapat dengan Dr MAZA dan ada bau permusuhan di antara mereka. Ini kerana dalam video tersebut, ustaz berkenaan turut membangkitkan beberapa isu lain yang tiada kena mengena dengannya.

“Janganlah kami dijadikan mangsa kebencian tuan kepada seteru tuan,” katanya.

Sebaiknya sebut ‘Aku terima nikahnya’

Sementara itu dalam penjelasan Ustaz Azhar Idrus mengenai isu berkenaan, beliau menjelaskan sebaik-baiknya keluar daripada pertikaian.

“Dalam akad nikah, ijab qabul, ijab itu daripada wali dan qabul itu daripada pengantin lelaki. Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i, hendaklah pengantin lelaki menjawab ‘Aku terima” dan kena sebut ‘akad nikah’. Kalau disebut begitu, ‘Aku terima akad nikahnya’, sah. Kalau sebut ‘Aku terima’ saja, tidak sah.

“Ada bab dalam mazhab lain fuqahak mengatakan, walaupun berkata ‘Aku terima’ sudah sah. Jadi, kalau kata ‘Aku terima’ saja, dalam pertikaian mazhab, ada mazhab mengatakan tidak sah dan ada mazhab mengatakan sah. Sebaiknya keluar daripada pertikaian.

“Sebab itu yang paling sempurna kita sebut, ‘Aku terima akad nikahnya’, baru sah,” jelasnya.

Sumber: Facebook Sabri Yunus

The post ‘Ustaz kata pernikahan kami tak sah & terus buat kesimpulan kami akan berzina?’ – Sabri Yunus jawab tuduhan pernikahannya dengan Angeline Tan tidak sah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar