-->

‘Teruskanlah pakai pakaian sukan tu, boleh kurangkan kos perbelanjaan’ – Ibu bapa mahu murid teruskan pakai pakaian sukan berbanding seragam sekolah

Semalam, media melaporkan pelbagai pihak termasuk guru menggesa pakaian seragam sekolah dikembalikan. Timbul persoalan dalam kalangan guru dan ibu bapa sampai bilakah pemakaian pakaian sukan ini diteruskan. Apatah lagi melihat keadaan cuaca yang sudah kembali seperti biasa.

Memetik laporan itu, seorang guru menyatakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu kembalikan pemakaian baju seragam kerana berpandangan ia adalah sebahagian usaha untuk membentuk disiplin dan jati diri murid.

Katanya, biarpun isu pakaian seragam dianggap remeh, namun ia tradisi yang diamalkan di seluruh dunia meskipun jenis pakaian digunakan mungkin berbeza. Walau bagaimanapun, dia mengakui murid semakin selesa memakai pakaian sukan malah sikap sesetengah ibu bapa yang lebih cenderung untuk menolak baju seragam atas pelbagai alasan.

Disiplin murid bukan diukur pada pemakaian

Sementara itu, ada sesetengah ibu bapa tidak bersetuju sekiranya pemakaian baju seragam sekolah dikembalikan.

Menurut pandangan ibu bapa, disiplin seseorang murid bukan diukur dengan pemakaian, tetapi dari pelbagai sudut yang lain.

Pemakaian seragam bukan dilupakan begitu sahaja tetapi, pemakaian seragam boleh dipakai ketika ada acara rasmi yang dibuat oleh pihak sekolah.

Selain daripada faktor bebanan kewangan yang perlu ditanggung ibu bapa apabila membeli baju seragam, pemakaian baju sukan ini bukan sahaja memberikan keselesaan kepada murid-murid, malahan juga memudahkan ibu bapa untuk menyediakan pakaian buat anak-anak.

“Rasanya lebih baik teruskan pemakaian baju sukan. Bagi saya, sesuai untuk pelajar perempuan yang pakai kain. Memudahkan mereka untuk bergerak dan berlari sekiranya berlaku kecemasan atau sebagainya,” kata Hanim.

“Tidak perlu (dikembalikan). Disiplin anak-anak boleh dibentuk dari sudut lain. Juga boleh dibentuk dengan pakaian sukan sekolah. Pakaian seragam boleh dipakai pada hari perhimpunan untuk formaliti,” kata Rynismi.

“Teruskanlah pakaian sukan tu. Tahun depan nak sekolah, pastu puasa, raya. Semua itu memerlukan perbelanjaan tinggi. Kalau pakaian sukan itu boleh kurangkan kos, bayangkan kalau anak ramai. Setakat anak sekolah seorang, bolehlah sembang,” kata Nora.

Mac lalu, KPM telah mengeluarkan arahan murid sekolah dibenarkan memakai pakaian sukan berikutan cuaca panas keterlaluan yang melanda negara berpotensi memberi kesan kepada murid.

Sumber: Berita Harian

The post ‘Teruskanlah pakai pakaian sukan tu, boleh kurangkan kos perbelanjaan’ – Ibu bapa mahu murid teruskan pakai pakaian sukan berbanding seragam sekolah appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar