-->

‘MyKid bukan dokumen wajib perlu ada’ – JPN jelaskan, ibu bapa tak perlu bimbang

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter meluahkan rasa tidak puas hati berhubung kelewatan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyerahkan dokumen pengenalan diri MyKid untuk anaknya.

Difahamkan, pengadu telah membuat permohonan MyKid pada tahun 2021. Namun sehingga kini JPN masih belum mengeluarkannya atas sebab ketiadaan stok.

“Aku tak faham ni. Aku buat MyKid anak aku pada zaman isteri aku berpantang lagi tau. Sekarang anak aku umur nak dekat tiga tahun dah.

“MyKidnya sampai ke sudah tak siap, sebab kad tak ada stok. Pastu yang kau suruh orang buat MyKid tu untuk apa? Isi masa lapang?” katanya.

Bagaimanapun JPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kad MyKid yang dikeluarkannya kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bukanlah dokumen yang wajib diperlukan.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Zamri Misma berkata, pemohon yang belum menerima MyKid tidak perlu bimbang kerana dokumen tersebut bukanlah satu kewajipan.

“MyKid bukan satu dokumen yang wajib perlu ada. Paling penting sijil kelahiran yang dikeluarkan JPN.

“MyKid adalah dokumen tambahan. Sebenarnya tak perlu bimbang, tak perlu risau, tak akan kena tangkap kalau tiada MyKid, tak ada masalah,” katanya.

Jelas Zamri lagi, sejak 2021, JPN telah memproses 16,000 permohonan MyKid dan 40,000 MyKid telah diserahkan kepada pemohonnya, bergantung kepada bekalan mikrocip yang diterima pihaknya.

Walaupun MyKid bukan kewajipan, ibu bapa atau penjaga yang memerlukan atas keperluan mendesak boleh mendapatkannya dengan menghubungi pejabat JPN terdekat.

Sumber: Twitter, Harian Metro

The post ‘MyKid bukan dokumen wajib perlu ada’ – JPN jelaskan, ibu bapa tak perlu bimbang appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar