-->

‘Alhamdulillah dah jumpa’ – 4 sekeluarga termasuk 2 cucu yang dilaporkan hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian ditemui selamat

Misteri kehilangan empat sekeluarga yang baru pulang dari bercuti di Pulau Perhentian akhirnya terjawab.

Suraidah dari Kluang, Johor bersama anak lelakinya, Mohamad Aiman Mohd Rafee, serta dua cucu, Sasa Alesha dan Ahmad Dhani sebelum ini dilaporkan hilang. Namun ada sumber yang mendakwa mereka telah selamat tiba di rumah, di Kluang, Johor.

Menurut sumber, Ahmad Nazrul yang berkongsi mengenai maklumat terkini itu menerusi hantaran di Facebooknya berkata, empat sekeluarga berkenaan terdahulu singgah di kedai makan di Kluang, Johor sebelum bertolak pulang ke kediaman mereka.

“Kereta yang dinaiki empat beranak ini ditemui di sebuah kedai makan di Kluang, Johor. Gambar ini dihantar oleh seorang rakan Facebook saya, di ruangan komen posting saya.

“Sahabat kami telah bergegas ke kedai tersebut dan mendapati kereta ini telah tiada di kedai itu.

Pemilik kedai sahkan empat sekeluarga itu singgah makan di kedainya

“Pemilik kedai telah mengesahkan mereka empat beranak ada berhenti dan makan di kedai tersebut. Dan seorang lelaki dipercayai salah seorang yang hilang dalam kes ini iaitu, Aiman Rafee, telah membayar makanan yang mereka makan. Alhamdulillah mereka telah disahkan selamat tiba di rumah mereka di Kluang Johor,” katanya.

Jelasnya lagi, pihak keluarga yang datang ke Terengganu sudah dalam perjalanan pulang ke Johor untuk bertemu dengan ibu dan anak-anak mereka.

“Ahli keluarga mereka dari Johor yang datang ke Terengganu pagi tadi, sekarang sedang dalam perjalanan pulang ke Johor. Mereka telah berhubung dengan saya,” jelasnya.

Sementara itu, mana-mana pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini.

“Diharapkan tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini. Kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh pihak berwajib sebentar nanti. Terima kasih kepada semua yang telah banyak membantu dalam usaha mencari ini.

“Terima kasih pihak PDRM, pengusaha resort dan hotel Pulau Perhentian, pengusaha bot Pulau Perhentian dan semua yang terlibat secara langsung mahupun secara tak langsung.
Hanya Allah yang mampu membalasnya,” ujarnya.

Telefon bimbit rosak dimasuki air semasa bercuti di Pulau Perhentian

Terdahulu, menantu kepada Suraidah yang dikenali sebagai Ah Pek, meminta bantuan orang ramai untuk membantu mencari empat ahli keluarganya itu melalui hebahan di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Suprintendan Abdul Razak Mohamad berkata, maklumat yang diperoleh daripada pengendali bot yang membawa empat sekeluarga itu, ada memaklumkan mereka merancangan untuk menyambung percutian di Batu Burok, Kuala Terengganu.

Dalam pada itu juga, mereka turut menyatakan bahawa telefon bimbit mereka tidak dapat berfungsi akibat dimasuki air semasa bercuti Pulau Perhentian.

Sumber: Facebook Ahmad Nazrul

The post ‘Alhamdulillah dah jumpa’ – 4 sekeluarga termasuk 2 cucu yang dilaporkan hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian ditemui selamat appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar