-->

KPM sahkan video tular di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin tidak mengikut garis panduan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan rakaman video tular mengenai program solidariti bersama Palestin di sebuah sekolah yang didakwa memaparkan unsur keganasan adalah di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti garis panduan yang ditetapkan.

KPM mengambil maklum akan kegusaran masyarakat mengenai isu tersebut.

Baca artikel berkaitan: Guru-guru dikecam, berpakaian seperti pejuang, bawa senapang dalam program solidariti Palestin di Sekolah

Sehubungan dengan itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM akan mengambil tindakan selanjutnya berhubung isu berkenaan sebaik sahaja pihaknya menerima laporan.

Beliau berkata, program Minggu Solidariti Palestin di sekolah adalah digalakkan kerana ia penting untuk pemahaman nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar. Namun pihaknya tidak berkompromi dengan unsur-unsur radikalisme, ekstremis, atau keganasan.

“Mesti ada laporan sebelum kita ambil apa-apa tindakan. Dan ia (program) juga mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan, malah garis panduan (Minggu Solidariti Palestin) ini juga sangat jelas.

“Sebab itulah kita telah adakan satu libat urus bersama pihak-pihak yang berkaitan.

“Apa yang boleh dan tak boleh dilakukan dan sebagainya. Jadi kita minta semua pihak khususnya institusi pendidikan untuk berikan perhatian penuh terhadap garis panduan yang telah kita keluarkan,” kata Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video satu program di sebuah sekolah yang dikatakan memaparkan unsur ekstremisme. Dipercayai bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Sumber: Fadhlina Sidek, Bernama

The post KPM sahkan video tular di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin tidak mengikut garis panduan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar