-->

‘Kerajaan ini akan bertemu ajalnya’ – MP Pas doakan kejatuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim

Ahli Parlimen Pasir Puteh (PN), Nik Muhammad Zawawi Salleh, mengakui secara peribadinya pernah mendoakan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini hanya mampu berkuasa selama 22 bulan.

Dan kali ini di Parlimen, Nik Muhammad Zawawi sekali lagi mengatakan bahawa dia akan melakukan perkara yang sama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ya betul dan kali ini pun saya nak doakan yang sama,” katanya selepas Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer menuding jari terhadapnya semasa membangkitkan soal peruntukan kepada anggota parlimen yang didakwa tidak adil.

Menurutnya lagi, kerajaan pimpinan Anwar pada ketika ini terumbang-ambing kerana tidak mendapat ‘nusrah’ daripada Allah dan akan menemui ajalnya tidak lama lagi.

“Allah SWT tidak melembutkan hati manusia untuk bersama-sama dengan kerajaan dan kerana apa? Kerana kerajaan bersikap di luar daripada batas-batas kemanusiaan.

“Ahli-ahli parlimen tidak diagihkan peruntukan, harta siapa? Harta ini kalau milik Tambun, saya tak akan kata apa. Tapi ini adalah harta rakyat dan negara, yang mesti diagihkan.

“Insya-Allah, saya kira (kerajaan ini) tidak lama usianya dan insya-Allah kerajaan ini akan bertemu ajalnya,” katanya.

Kenyataan Nik Muhammad Zawawi itu mengundang bantahan daripada Rayer yang meminta dia menarik balik kata-kata itu kerana mengeluarkan sangkaan jahat, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36 (6). Malah Rayer mengingatkan Nik Muhammad Zawawi untuk menjaga tutur katanya kerana ada pelawat daripada kalangan pelajar sekolah di sidang tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Ramli memutuskan kenyataan Nik Muhammad Zawawi itu tidak mempunyai ciri-ciri sangkaan jahat.

Sumber: MalaysiaKini

The post ‘Kerajaan ini akan bertemu ajalnya’ – MP Pas doakan kejatuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar